BUKIT JALIL – Kementerian Belia dan Sukan dengan kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia akan menganjurkan edisi ke-29 perlumbaan Petronas Le Tour de Langkawi 2025 yang akan berlangsung dari 28 September hingga 5 Oktober 2025 dengan mengekalkan Majlis Sukan Negara selaku penganjur, selepas kejayaan penganjuran cemerlang edisi ke-28 Petronas LTDL 2024.

Petronas LTDL 2025 akan menjelajah ke semua 12 negeri di Semenanjung Malaysia dengan jarak keseluruhan 1257.8 kilometer. Pulau Langkawi terus dijadikan permulaan Peringkat 1, manakala peringkat terakhir akan ditamatkan di Menara Berkembar Petronas. Edisi kali ini turut memperkenalkan Padang Besar (Perlis), Medini dan Tangkak (Johor) sebagai venue baru penganjuran Petronas LTDL.

Cabaran pendakian menyaksikan Banjaran Titiwangsa (Peringkat 3) dan Fraser’s Hill (Peringkat 5) sebagai peringkat perlumbaan yang bakal menentukan kedudukan para pelumba untuk kategori pendahulu keseluruhan (GC). Namun demikian jarak 214.6 kilometer dari Melaka ke Medini pada Peringkat 7 juga boleh dijadikan sandaran kepada penentuan juara keseluruhan perlumbaan tahun ini.

KBS mengharapkan prestasi yang lebih baik daripada pelumba negara di Petronas LTDL 2025, dengan penyertaan tiga pasukan dari Malaysia iaitu Terengganu Cycling Team (TSG), Malaysia Pro Cycling Team (MPC) dan juga Pasukan Kebangsaan Malaysia. Ini bagi mengatasi kejayaan Nur Aiman Rosli yang mengungguli jersi Pelumba Terbaik Asia (Peringkat 1 dan 2) dan dua kejayaan kategori Most Combative Rider melalui Nur Amirul Fakhrudin (Peringkat 2) dan Nor Aiman Zarif (Peringkat 7).

KBS juga terus mengharapkan sokongan daripada penaja korporat bagi memastikan kejayaan Petronas LTDL 2025, bagi memastikan acara ini terus mencapai kecemerlangan dengan standard penganjuran yang tinggi.


MAKLUMAT PERLUMBAAN PETRONAS LE TOUR DE LANGKAWI 2025

Kategori
UCI Proseries Men Elite
Tarikh
28 September – 5 Oktober 2025
Peringkat
Lapan (8) Peringkat

LALUAN PERLUMBAAN

Peringkat 1 28 September (Ahad)
Langkawi Round Island (96.5 km)
Peringkat 2 29 September (Isnin)
Padang Besar ke Kepala Batas (170.1 km)
Peringkat 3 30 September (Selasa)
Gerik ke Pasir Putih (198.2 km)
Peringkat 4 1 Oktober (Rabu)
Kuala Terengganu ke Kemaman (140.8 km)
Peringkat 5 2 Oktober (Khamis)
Temerloh ke Fraser’s Hill (133.7 km)
Peringkat 6 3 Oktober (Jumaat)
Shah Alam ke Port Dickson (123.4 km)
Peringkat 7 4 Oktober (Sabtu)
Melaka ke Medini (216.4 km)
Peringkat 8 5 Oktober (Ahad)
Tangkak ke Kuala Lumpur (180.5 km)
Jumlah 1,257.8 km