KUALA LUMPUR: Pelumba Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 menerima berita gembira hari ini apabila penganjur memutuskan untuk memperkenalkan semula anugerah ‘Most Combative Rider’ bagi kejohanan itu yang akan berlangsung dari 23 hingga 30 September ini.
Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata keputusan membawa kembali anugerah itu bagi menghargai pelumba yang menunjukkan semangat juang tinggi sekali gus menjadi tarikan utama kejohanan berkenaan selari dengan jelajah besar dunia.
“Kita memperkenalkan semula Most Combative Rider, yang kali terakhir kita buat pada 2017 dengan Loh Sea Keong memenanginya sebanyak empat kali dalam LTDL.
“Pemenang anugerah terbabit akan memenangi hadiah wang tunai berjumlah RM1,000 dan plak,” katanya kepada pemberita pada majlis pengenalan rakan penaja rasmi LTdL 2023 di MSN, Bukit Jalil di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Operasi LTdL 2023 Emir Abdul Jalal berkata usaha memperkenalkan semula anugerah berkenaan merupakan langkah yang positif.
“Anugerah ini sangat popular, malah ada dokumentari khas mengenai anugerah ini. Kalau selama ini kita cuma mengenali pemenang, tapi yang bekerja kuat sebagai wira tak didendang kita tidak tahu, jadi anugerah ini untuk wira terbabit.
“Kriterianya memang ada juri, presiden komisar, pengarah teknikal, tiga komisar utama dan saya sendiri akan menonton. Kami akan analisis dan sebelum tamat, presiden komisar akan beri nama pemenang anugerah itu,” katanya.
Beliau berkata anugerah kategori itu mampu membawa pelumba negara ke tahap lebih tinggi sekali gus mempromosikan pelumba tempatan untuk ke peringkat antarabangsa pada masa akan datang.
Kali terakhir anugerah Most Combative Rider diadakan pada 2017 dengan pelumba negara See Keong diumumkan sebagai pemenang bagi Peringkat 1 dan Peringkat 8 LTdL 2017.
LTdL 2023 yang melibatkan laluan di 11 negeri, akan bermula dengan Peringkat 1 dari Kerteh ke Kuala Terengganu sejauh 184.4 kilometer (km); Peringkat 2 Kuala Terengganu-Kota Bharu (186.2km); Peringkat 3 Jeli-Baling (177.1km); Peringkat 4 Bukit Mertajam-Meru Raya (140km).
Perlumbaan itu kemudian akan diteruskan untuk Peringkat 5 dari Slim River-Genting Highlands (133.3km); Peringkat 6 Karak-Melaka (176.6km); Peringkat 7 Muar-Seremban 2 (125.7km) dan Peringkat 8 Setia Alam-Kuala Lumpur sejauh 157km.
– Berita Harian