AYER KEROH – Pelumba Tudor Pro Cycling Team, Arvid de Kleijn terus menampilkan kayuhan bertenaga apabila memenangi Peringkat 5 PETRONAS Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) pada Khamis.
Henjutan bertenaga de Kleijn pada jarak kira-kira 100 meter (m) terakhir perlumbaan, menyaksikan pelumba kelahiran Belanda itu yang digelar Little Gorilla melintasi garisan penamat dengan catatan tiga jam 35 minit 30 saat (s).
Kerjasama berpasukan antara barisan pelumba Tudor ternyata membuahkan hasil bagi ‘memacu’ de Kleijn selaku juara pada perlumbaan yang bermula dari Menara Berkembar PETRONAS (KLCC) sejauh 167.3 kilometer (km) itu.
Pelumba JCL Team UKYO, Matteo Malucelli yang bergelar naib juara Peringkat 4 pada Rabu, sekali lagi terpaksa berpuas hati berada di belakang de Kleijn, manakala pelumba Qazaqstan Astana Team, Gleb Syritsa di tempat ketiga.
Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Muhammad Nur Aiman Rosli muncul pelumba terbaik Malaysia apabila mengakhiri perlumbaan Peringkat 5 di tempat ke-21 dengan catatan masa 3:35.34s.
“Sekali lagi saya harus berterima kasih kepada rakan-rakan sepasukan atas kemenangan hari ini, Tanpa bantuan mereka, sudah tentu sukar bagi saya untuk mengulangi kemenangan seperti semalam.
“Seperti yang saya katakan sebelum ini, setiap perlumbaan menjanjikan persaingan yang cukup sengit kerana setiap pelumba pastinya mahu kemenangan, tidak kira di peringkat mana sekalipun.
“Bagi diri saya sendiri, sudah tentu kemenangan ini akan menambahkan lagi semangat saya untuk terus memburu kemenangan pada peringkat seterusnya, tetapi saya tidak mahu terlalu yakin,” kata de Kleijn.
Kejayaan menjuarai Peringkat 5 itu menyaksikan de Kleijn bmengulangi pencapaian pada edisi tahun lalu dengan memenangi dua peringkat perlumbaan selepas dia berjaya muncul juara Peringkat 4 dari Kuala Kubu Bharu ke Bentong pada Rabu.
Begitpun, de Kleijn yang kini mencecah usia 30 tahun berpeluang menambah koleksi kemenangan dalam kariernya pada kejohanan berbasikal berprestij di Asia itu pada baki tiga peringkat perlumbaan.
Dalam pada itu, pelumba Team DSM-Firmenich PostNL, David Max Poole yang menamatkan perlumbaan Peringkat 5 di tempat ke-49 masih kekal menyarung Jersi Hijau status selaku pendahulu keseluruhan apabila merekodkan masa 16:33.04s.
Poole yang juga pakar pendakian berusia 21 tahun dari Great Britain, kini dicabar hebat pelumba Burgos-BH, Jose Manuel Diaz Galledo yang mana mereka hanya dibezakan dengan catatan 0.12s.
Jersi Polka Dot selaku Raja Bukit pula kekal milik pelumba Burgos-BH, Munoz Mario Aparicio yang berjaya menambah tujuh mata lagi untuk mengumpul keseluruhan 27 mata setakat ini.
Poole yang terpaksa menyerahkan Jersi Polka Dot kepada Aparicio pada Rabu, kini mengumpul 22 mata, manakala pelumba Astana Qazaqstan Team, Anthon Charmig kekal berada di tempat ketiga dengan mengutip 12 mata.
Malucelli turut mengekalkan Jersi Jingga selaku Raja Pecut apabila mengumpul 46 mata, diikuti de Kleijn dengan 45 mata, manakala Syritsa yang menjuarai Peringkat 1 mengumpul keseluruhan 35 mata.
Pelumba JCL Team UKYO, Manabu Ishibashi turut mengekalkan Jersi Putih (Terbaik Asia) dengan catatan 16:35.22s, diikuti pelumba Aisan Racing Team (AIS), Keigo Kusaba (16:37.59s) dan seorang lagi wakil JCL, Yuma Koishi (16:38.03s).
Selepas lima peringkat, pasukan Equipo Kern Pharma masih mendominasi status selaku pendahulu keseluruhan apabila merekodkan masa 49:40.04s diikuti Astana Qazaqstan Team (49:41.35s) dan Team Polti Kometa (49:41.36s).
Bagi kategori Asia, JCL Team UKYO juga kekal pendahulu keseluruhan dengan catatan masa 49:51.36s diikuti pasukan kebangsaan Thailand (50:14.16s) dan Malaysia Pro Cycling (MPC), 50:14.46s.
Peringkat 6 pada Jumaat yang bermula dari Batu Pahat ke Kulai sejauh 123.4km bakal menawarkan ‘ganjaran baharu’ buat para pelumba terutamanya pakar pecut apabila menyajikan tiga zon pecutan di Senggarang, Rengit, Bukit Batu.