KUALA LUMPUR: Sedih dan tidak mampu berkata apa-apa, itulah luahan pakar pecut Terengganu Cycling Team (TSG), Harrif Saleh yang terpaksa menamatkan kempen perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 selepas melebihi had masa yang ditetapkan (OTL) di peringkat keempat dari Kuala Kubu Bharu ke Bentong semalam.

Menurut pelumba yang terkenal dengan panggilan ‘Mamat’ itu, dia sudah sedaya upaya cuba untuk menghabiskan masa menepati masa yang ditetapkan namun terpaksa akur dengan keputusan berkenaan sekali gus senasib bersama juara keseluruhan tahun lalu, Simon Carr dari EF Education – EasyPost.

“Memang berjuang juga untuk melawan dengan masa ditetapkan namun pelumba WorldTeam sangat laju, semalam pula baru habis pendakian di Cameron Highlands, diikuti GAP (Bukit Fraser) dan keesokannya (hari ini) ada bukit lagi,” katanya yang sudah beraksi sebanyak 15 kali di LTdL.

Ujar Harrif, tahap pelumba pecut luar negara sangat tinggi dan dia bukan hendak menyalahkan penganjur namun menyatakan sedikit kekecewaan kerana perlumbaan dijalankan selepas Grand Tour (Tour de France, Giro d’Italia dan Vuelta Espana).

“Perkara ini perlu dilihat juga kerana mereka baharu sahaja menghabiskan perlumbaan tahap tinggi. Jadi perlu dikaji (jadual perlumbaan). Jurang kita jauh dengan mereka.

“Perlumbaan kali ini memang landai tapi sangat mencabar. Bagi diri saya sendiri ia sangat sukar tambahan pula kami hanyalah pakar pecut tahap Asia. Ini kali pertama saya kena OTL, sebelum ini hanya disingkirkan akibat kesalahan ‘sticky bottle’ dan terbabit dalam kemalangan sahaja,” katanya.

Tambahnya, dia sendiri ketika berlumba juga tidak tahu tahap masa pada peringkat semalam dan sudah berusaha sebaik mungkin.

“Kita memang tidak mahu benda ini terjadi, sebab ramai lagi berada di kelompok belakang semalam termasuk juara tahun lalu Carr, dia bersama dengan saya. Sedih kerana saya boleh memberi tentangan pada perlumbaan tahun ini. Sedangkan Izzat (Hilmi Abd Halil) yang muda juga tersingkir disebabkan OTL.

“Begitu juga dengan pakar pecut Team Corratec-Vini Fantini, Jakub Mareczko (juara peringkat empat kali) berada dalam senarai yang tersingkir. Kalau buat berselang-seli laluan landai dan pendakian sukar mungkin lebih sesuai untuk pakar pecut Asia,” katanya.

Selain Harrif dan Izzat Hilmi tiga pelumba Malaysia yang tersingkir ialah Azim Aliyas (skuad kebangsaan), Fahmi Khairul (Malaysia Pro Cycling) dan Zulhelmi Zainal (Nusantara Cycling Team).

– Harian Metro