Kuala Lumpur: Pasukan berstatus World Team dari Sepanyol, Euskaltel-Euskadi merangka strategi unik apabila menghantar enam pelumba pakar laluan berbukit dalam usaha meraih kejayaan positif pada saingan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 dari 23 hingga 30 September ini.
Menurut Ketua Pegawai Operasi LTdL 2023, Emir Abdul Jalal, strategi terbabit sudah pastinya menarik perhatian peminat sukan berbasikal tanah air apabila bakal memberi cabaran sengit kepada pelumba negara, Nur Aiman Mohd Zariff yang mewakili Terengganu Cycling Team (TSG).
“Ada satu pasukan dari Sepanyol, Euskaltel-Euskadi yang dilihat mempunyai objektif sangat unik apabila menghantar enam pendaki.
“Salah seorang pelumba mereka cukup terkenal dan pernah memenangi laluan berbukit paling sukar pada penyertaan baru-baru ini.
“Mereka mengetahui ada satu laluan unik untuk mendaki di Titiwangsa sebelum ke Genting Highland. Mereka memang sasar untuk memenangi laluan mendaki pada pelumba kali ini,” katanya.
Selain itu, Emir berkata, pasukan dari Amerika Syarikat, EF Education-Easypost dilihat sebagai pencabar utama untuk merangkul gelaran pasukan terbaik dan jersi kuning (pelumba terbaik) pada edisi kali ini.
EF Education-Easypost dilihat cukup serius untuk memenangi LTdL 2023 apabila menghantar pelumba terbaik mereka iaitu pemenang peringkat kelima perlumbaan Tour de Alps pada April 2023, Simon Carr dan pemenang gelaran Pelumba Muda Terbaik Giro di Sicilia tahun lepas, Jefferson Cepeda Oritz.
“Satu lagi World Team, Astana Qazaqstan turut membariskan pelumba terbaik mereka. Sudah pastinya akan memberi tentangan sengit kepada pelumba lain,” katanya.
Mengikut rekod, LTdL 2023 membabitkan laluan di 11 negeri, akan bermula dengan Peringkat 1 dari Kerteh ke Kuala Terengganu sejauh 184.4km; Peringkat 2 Kuala Terengganu-Kota Bharu (186.2km); Peringkat 3 Jeli-Baling (177.1km); Peringkat 4 Bukit Mertajam-Meru Raya (140km).
Perlumbaan itu kemudian akan berlangsung dengan Peringkat 5 dari Slim River-Genting Highlands (133.3km); Peringkat 6 Karak-Melaka (176.6km); Peringkat 7 Muar-Seremban 2 (125.7km) dan Peringkat 8 Setia Alam-Kuala Lumpur sejauh 157km.
– Harian Metro