KUALA TERENGGANU: Skuad berbasikal nombor satu Asia, Terengganu Cycling Team (TSG) mempertaruhkan enam pelumba berpengalaman dalam mengharungi saingan Le Tour de Langkawi (LTdL) edisi ke-28 hujung bulan ini.
Ketua Pegawai Operasi, Nasiruddin Wan Idrus berkata, pelumba berkenaan terdiri daripada Nur Amirull Fakhruddin Mazuki, Nur Aiman Mohd Zariff, Nur Aiman Rosli, Andreas Miltiadis, Anatolli Budiak dan Harrif Saleh selaku pelumba pecut pasukan.
Jelasnya, barisan pelumba terbabit akan menggalas cabaran untuk mencapai sasaran sekurang-kurangnya satu podium dalam jelajah berstatus Pro Series dalam kalendar Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) itu yang bermula 29 September hingga 6 Oktober ini.
“Untuk LTdL kali ini, kami turut mempertaruhkan muka baharu iaitu Nur Aiman Rosli, pemilihannya berdasarkan prestasi cemerlang dalam beberapa perlumbaan sebelum ini.
“Jadi kita harap dia mampu membuat kejutan seperti mana dilakukan ketika Jelajah Thailand beberapa bulan lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam perkembangan lain, Nasiruddin berkata TSG kini berada pada landasan terbaik untuk mengekalkan gelaran juara Asia musim ini.
Jelasnya, terkini TSG berada di kedudukan teratas dengan baki empat jelajah lagi sebelum musim 2024 melabuhkan tirainya pada Oktober ini.
– Harian Metro