KUALA LUMPUR: Pasukan World Team, DSM Firmenich PostNL terpaksa melakukan rombakan di saat akhir apabila pelumba utama mereka, Frank Van Den Broek tidak dapat bersama-sama di saingan Petronas Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 yang akan membuka tirainya pada 29 September hingga 6 Oktober depan.

Ia disebabkan pelumba berusia 23 tahun itu terpaksa menyertai skuad lebuh raya Belanda bagi menghadapi Kejohanan Dunia UCI yang akan berlangsung di Zurich, Switzerland dari 21 hingga 29 September ini.

Namun begitu, DSM Firmenich PostNL yang dilihat antara pencabar utama dalam saingan LTdl musim ini menggantikannya dengan seorang lagi pelumba berbakat dari United Kingdom, Max Poole yang akan melakukan penampilan sulung di Malaysia.

Melihat kepada pencapaian Poole, dia dijangka mampu menghadirkan sesuatu dan bakal menjadi senjata rahsia buat pasukan yang berpengakalan dari Belanda itu.

“Poole berusia 21 tahun, tampil dengan aksi yang cemerlang dengan merekodkan empat kali menaiki podium pada perlumbaan berstatus grand tour – Vuelta a Espana baru-baru ini dan muncul naib juara keseluruhan pada Vuelta a Burgos Sepanyol.

“Menghuni ranking ke-111 dunia, Poole kelahiran Scunthorpe, England dilabel sebagai pelumba pendaki yang berani dan mampu memberikan saingan bertahap tinggi hingga ke garisan penamat,”kata DSM Firmenich PostNL.

Selain Poole, mereka akan membariskan pelumba seperti Alex Edmondson (Australia), Niklas Markl (Jerman), Casper Van Uden (Belanda), Bjoern Koerdt (Great Britain) dan Johan Dorussen (Belanda) dalam usaha memburu kejayaan demi kejayaan dalam setiap peringkat pelumbaan LTdl.

Untuk rekod, pasukan berkenaan juga dijangka akan menjadi pengacau kepada dua lagi pasukan berstatus World Team iaitu EF Education Easypost dari Amerika Syarikat dan Astana Qazaqstan dari Kazakhstan.

Perlumbaan sejauh 1,190 kilometer tahun itu bakal menyaksikan Pulau Langkawi kembali tersenarai dalam laluan saingan selain dua peringkat buat julung kalinya dilangsungkan di dua bandar di Sarawak iaitu Miri serta Bintulu.

– Harian Metro