LANGKAWI: Dua seteru utama Arvid de Kleijn dan Gleb Syritsa sudah bersedia meneruskan perhitungan dalam perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 yang membuka tirainya di sini, esok

De Kleijn yang mewakili pasukan Tudor Pro Cycling Team mengungguli kedudukan keseluruhan Jersi Jingga selaku Raja Pecut dengan 72 mata pada perlumbaan berprestij itu tahun lalu manakala Syritsa (Astana Qazaqstan Team), hanya ketinggalan 14 mata di belakang.

Perseteruan yang seakan ‘belum dinoktahkan’ itu tampak bakal dihangatkan lagi pada edisi ke-28 kali ini dengan kedua-duanya tampak bersemangat untuk merebut gelaran berkenaan.

“Saya kembali kerana saya mahu bersaing dengan Gleb sekali lagi. Satu perlumbaan yang landai kali ini di sini dan sudah tentu saya mahu menang.

“Saya gembira kerana dapat kembali bersama skuad di sini,” kata De Kleijn yang musimnya tahun ini direncatkan dengan isu kecederaan dalam sidang media pelumba utama LTdL 2024, hari ini.

Untuk rekod, pada tahun lalu, De Kleijn yang dikenali sebagai ‘Litle Gorilla’ turut meraih dua kemenangan iaitu di Peringkat 1 dari Kerteh ke Kuala Terengganu dan Peringkat 6 dari Karak ke Melaka manakala Syritsa turut meraih dua kemenangan iaitu di Peringkat 2 (Kuala Terengganu ke Kota Bharu) dan Peringkat 8 (Setia Alam ke Kuala Lumpur).

Dalam pada itu, Syritsa dari Russia yang mewakili pasukan Astana Qazaqstan Team berkata, dia menjangkakan satu persaingan sengit buat pelumba pecut pada edisi kali ini yang turut disertai Casper van Uden dari pasukan Team dsm-firmenich PostNL dan Jakub Mareczko (Team Corratec-Vini Fantini).

Begitupun, Syritsa bertekad untuk memburu kemenangan sebanyak mungkin biarpun sedar saingan kali ini pastinya lebih sengit.

“LTdL adalah antara perlumbaan kegemaran saya. Namun saya menjangkakan satu pertarungan sengit untuk pecut namun tidak mustahil dan saya akan cuba memburu kemenangan di sini walaupun sukar,” katanya.

– Berita Harian