KULAI: Walaupun tidak dapat menjelmakan kemenangan ketiga berturut-turut di perlumbaan Peringkat 6 Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024, laluan landai sepanjang 123.4 kilometer itu menyaksikan Jersi Jingga kini bertukar tangan kepada pelumba Tudor Pro Cycling Team, Arvid de Kleijn.

Raja Pecut itu ketinggalan 0:09 saat di belakang pemenang peringkat dari pasukan VF Group-Bardiani CSF-Faizane, Manuele Tarozzi yang menemui garisan penamat di Kulai dengan catatan dua jam 28 minit 68s manakala Stefan de Bod (EF Education-Easypost) di tempat kedua dengan catatan sama.

De Kleijn atau dikenali sebagai ‘Little Gorilla’ yang menawan Peringkat 4 dan 5 itu kini memperoleh kelebihan empat mata berbanding Matteo Malucelli dari pasukan JCL Team UKYO yang menyarung jersi berkenaan sebelum ini dengan saingan perlumbaan kini hanya berbaki dua peringkat sahaja lagi di Miri dan Bintulu.

“Kecewa kerana tidak berakhir dengan kejayaan, namun gembira dengan kerjasama rakan sepasukan menarik saya sepanjang perlumbaan. Saya tidak dapat merapatkan diri dengan dua pelumba di depan.

“Apapun, kami membuktikan sekali lagi mempunyai kekuatan dari segi menarik pelumba dan pakar pecut berkualiti. Saya hanya menang dalam kalangan kelompok besar sahaja hari ini, itu antara perkara positif,” kata De Kleijn.

Dalam pada itu, Jersi Hijau selaku pendahulu keseluruhan masih kekal disarung Max Poole dari pasukan Team dsm-firmenich PostNL dengan 19:02:03s manakala Thomas Pesenti (JCL Team UKYO) di kedudukan kedua dengan jurang 0:14s.

Pelumba Burgos BH, Mario Aparicio kekal menyarung Jersi Polka Dot dengan 27 mata, diekori Poole (22 mata) dan Anton Charmig (Astana Qazaqstan Team), 12 mata dengan baki dua lagi peringkat di Sarawak nanti hanya membabitkan satu zon pendakian.

Bagi klasifikasi Jersi Putih selaku pelumba terbaik Asia, Manabu Ishibashi dari pasukan JCL Team UKYO turut mengekalkan kedudukan dengan 19:04:21s, diekori Yuma Koishi (JCL Team UKYO) dan ketiga, Keigo Kusaba (Aisan Racing Team).

Perlumbaan Peringkat 7 esok membabitkan laluan sejauh 199.3km dari Miri ke Bintulu dengan membabitkan tiga zon pecutan di Suai, Nyalau dan Kidurong dan satu zon pendakian di Bintulu.

– Berita Harian