BENTONG: Juara bertahan Le Tour de Langkawi (LTdL), Arvid de Kleijn kembali meraih kemenangan pertamanya bagi edisi kali ini apabila menemui garisan penamat Peringkat 4 dari Kuala Kubu Bharu ke Bentong, sebentar tadi.

Pelumba Tudor Pro Cycling Team dari Belanda itu terlebih dahulu menemui garisan penamat secara beramai-ramai dengan catatan dua jam 53 minit dan 37 saat (s) ketika bersaing sengit dalam kelompok hadapan yang turut disertai seteru utamanya dari Astana Qazaqstan Team, Gleb Syritsa.

Tempat kedua menjadi milik Matteo Malucelli dari pasukan JCL Team UKYO manakala pelumba Team Polti Kometa, Manuel Penalver melengkapkan pentas podium di tempat ketiga dengan Syritsa yang juga naib juara keseluruhan tahun lalu, di tempat kelima.

Dalam sidang media selepas perlumbaan, pelumba berusia 30 tahun itu berkata, pasukan berusaha untuk mengejar enam pelumba yang melakukan ‘breakaway’ sebelum berjaya melakukan pecutan kira-kira 300 meter (m) sebelum menuju ke garisan penamat.

“Agak sukar hari ini buat pelumba pecut kerana ada pendakian (di GAP) namun semua pelumba melakukan tugas dengan baik bagi menangkap kumpulan ‘breakaway’ dan saya hanya fokus melakukan pecutan.

“Satu kemenangan yang baik untuk saya selepas dua peringkat perlumbaan awal sebelum ini kerana melakukan kesilapan. Ia satu pengalaman berguna terutama dalam pecutan yang laju.

“Banyak lagi yang perlu saya buru dan harus bersedia untuk melakukannya selepas ini,” kata De Kleijn yang pada tahun lalu berjaya meraih dua kemenangan, masing-masing di Peringkat 1 dan Peringkat 6.

Pelumba Team dsm-firmenich PostNL, Max Poole yang memenangi Peringkat 3 dari Taiping ke Cameron Highlands semalam, masih mengekalkan Jersi Hijau selaku pendahulu keseluruhan dengan 12:57:35s.

Mattio Malucelli dari pasuskan JCL Team UKYO yang juga pemenang Peringkat 2 dari Arau ke Butterworth, mengekalkan Jersi Jingga selaku Raja Pecut dengan 34 mata manakala De Kleijn kedua, 30 mata.

Jersi Polka Dot selaku Raja Bukit pula bertukar tangan kepada pelumba Burgos BH, Mario Aparicio selepas mengutip mata penuh di zon pendakian di GAP untuk mendahului klasifikasi berkenaan dengan 20 mata ketika ini.

Jersi Putih selaku pelumba terbaik Asia juga kekal di sarung Manabu Ishibashi (JCL Team UKYO) dengan 12:59:44s manakala rakan sepasukannya, Yuma Koishi di kedudukan kedua, 13:02:25s.

Sementara itu, Mohamad Nur Aiman Zariff dari pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) muncul selaku pelumba terbaik Malaysia yang menemui garisan penamat.

Perlumbaan Peringkat 5 esok dijadual bermula dari Kuala Lumpur ke Melaka yang membabitkan laluan sejauh 167.3km yang membabitkan tiga zon pecutan dan tiga zon pendakian.

– Berita Harian