BINTULU: Tindakan Sarawak melabur dalam bidang sukan dan sentiasa bersedia bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) harus dijadikan ikutan buat negeri lain.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, sukan adalah antara bidang yang boleh dipelopori pihak kerajaan negeri bagi menggalakkan lagi industri pelancongan sekali gus merancakkan ekonomi negeri masing-masing.
“Kita sangat gembira Sarawak sangat pro aktif untuk bekerjasama dengan KBS bagi menganjurkan beberapa temasya dan kejohanan di sini kerana mereka ada tempat menarik dan infrastruktur.
“Cabaran kita sekarang, adakah negeri lain akan datang (bersama KBS) dan kita tak boleh hanya mengharapkan Sarawak sahaja untuk membantu, (contoh SUKMA dan LTdL).
“Saya harap negeri lain juga. Ketua Menteri harus melihat ini sebagai satu pelaburan untuk negeri masing-masing. Bukan hanya untuk portfolio rekreasi sahaja,” kata Hannah dalam sidang media selepas pelepasan perlumbaan Peringkat 8 Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 di Bintulu, hari ini.
Sebelum ini, Sarawak menunjukkan komitmen tinggi apabila menjadi tuan rumah bagi Sukan Malaysia (SUKMA) dan Para SUKMA 2024 selain bersedia untuk menjadi tuan rumah bersama bagi Sukan SEA 2027.
LTdL 2024 melabuhkan tirainya di Bintulu dengan secara keseluruhan menelusuri laluan sepanjang 1,190 kilometer (km) yang turut membabitkan dua peringkat perlumbaan di Sarawak dan juga di semenanjung.
Mengulas mengenai sekiranya ada negeri lain berhasrat untuk berada dalam laluan kalendar LTdL seterusnya, Hannah berkata, KBS sentiasa membuka pintu untuk negeri mengambil bahagian namun ia bergantung kepada bajet yang ada.
“Selalunya dalam mesyuarat Exco, kita akan menyatakan perancangan kita dan setiap masa, kita terbuka untuk bekerjasama bersama. Cumanya kekangan bajet, kita kena rancang untuk memberi perjalanan menarik kepada pelumba dan kelab (pasukan).
“Jadi ia bukan hanya mengenai kerjasama dengan negeri tetapi kita kena cari yang menarik. Kalau laluan itu landai sahaja… (mungkin) tak menarik dan mungkin penyertaan akan kurang tetapi kita memang memerlukan kerjasama daripada Kementerian Pelancongan dan yang lain, untuk menjayakan perlumbaan ini,” katanya.
Edisi ke-28 kali ini membabitkan kos sekitar RM20 juta dengan RM8.1 ke-8.2 juta adalah menerusi penajaan yang diterima.
– Berita Harian