KUALA LUMPUR: Pelumba berpengalaman Mongolia, Jambaljamst Sainbayar bakal menjadi taruhan utama buat pasukan profesional dari Sepanyol, Burgos BH pada perlumbaan Petronas Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024.
Dengan pengalaman pernah beraksi di LTdL bersama pasukan profesional tempatan, Terengganu Cycling Team (TSG) dari 2021 hingga 2023 termasuk melakar kejayaan meraih jersi putih selaku pelumba terbaik Asia LTdL 2022 dan jersi kuning pada Jelajah Thailand 2021, sudah pasti akan membantu pasukannya memburu lebih banyak kejayaan kali ini.
Selain itu, pelumba berusia 27 tahun itu juga berjaya meraih kemenangan pada pelumbaan peringkat rantau Asia dengan melakar beberapa kejayaan termasuk memenangi tiga peringkat perlumbaan di Tour of Qinghai Lake (2.Pro) dan Tour of Sharjah.
Oleh itu, dengan pengetahuan geografi serta selok belok keadaan perlumbaan di Malaysia, Sainbayar akan dibantu oleh tiga lagi rakannya yang berpengalaman iaitu Antonio Eric Fagundez (Uruguay), Mario Aparicio (Sepanyol) dan Ander Okamika (Sepanyol) selain dua lagi pelumba yang akan melengkapkan pasukan, Clement Alleno (Perancis) dan Georgios Bouglas (Greece) untuk memburu kejuaraan LTdL 2024.
Untuk makluman, Fagundez, Aparicio dan Okamika mempunyai keupayaan seimbang dan mampu menggalas cabaran sebagai pelumba GC buat Burgos BH. Kejayaan manis yang pernah dilakar Burgos BH di LTdL adalah kemenangan peringkat kelapan pada 2022 menerusi Alex Molenaar.
LTdL 2024 yang memasuki edisi ke-28 tahun ini dijadual berlangsung daripada 29 September hingga 6 Oktober depan membabitkan lapan peringkat merangkumi laluan sejauh 1,190 kilometer.
Pulau Langkawi kembali tersenarai dalam laluan edisi kali ini yang turut menyaksikan dua peringkat perlumbaan julung kalinya bakal berlangsung di dua bandar di Sarawak iaitu Miri (peringkat ketujuh) dan Bintulu (peringkat kelapan).
– Harian Metro