IPOH: Pakar pecut pasukan Caja Rural-Segurus RGA, Daniel Babor nyata gembira dengan prestasinya di perlumbaan Peringkat 4 Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 dari Bukit Mertajam ke Meru Raya, hari ini.
Babor mencipta sejarah sebagai pelumba Republik Czech pertama memenangi perlumbaan peringkat LTdL dengan catatan tiga jam enam minit dan lima saat (s) sekali gus mengenepikan pencabar terdekat yang menawan Peringkat 3 semalam, George Jackson (Bolton Equities Black Spoke).
Melengkapkan pentas podium bagi aksi peringkat itu adalah pelumba Human Powered Health, Sasha Weemaes.
“Bagi saya ia bukanlah tidak dijangka kerana saya mempunyai rakan sepasukan yang bagus,” kata Babor.
“Saya tahu tidak berada pada keadaan baik namun saya mempunyai standard tersendiri.
“Kami berjaya melakukan kerja berpasukan dengan baik hari ini. Ia satu pencapaian yang besar kerana saya bergelut tahun ini namun menuju ke penghujung musim, saya berjaya memberikan kayuhan mantap buat diri sendiri dan pasukan.”
Untuk rekod Babor, 24, sebelum ini pernah meraih empat perlumbaan peringkat iaitu di Peringkat 4 Volta a Portugal em Bicicleta 2023, Peringkat 5 Turul Romaniei 2022, Peringkat 2 Turut Romaniei 2022 dan Peringkat 4 Turul Romaniei 2021.
Dalam pada itu, Jackson berjaya merampas Jersi Hijau selaku pendahulu keseluruhan selepas mencatat 16:01.4s, diikuti pelumba Green Project-Bardiani CSF-Faizane (0:06s), Enrico Zanoncello manakala di kedudukan ketiga ialah Simon Carr dari EF Education-EasyPost.
Pelumba Arvid de Kleijn dari pasukan Tudor Pro Cycling Team pula mengekalkan Jersi Jingga selaku Raja Pecut selepas mengumpul 30 mata manakala Zanoncello ketinggalan satu mata di belakang, diikuti Jackson ketiga, (27 mata).
Jersi Putih (pelumba terbaik Asia) dirampas pelumba Thailand Continental Cycling Team, Ratchanon Yaowarat (16:01.16s), diikuti rakan sepasukannya, Thanakhan Chaiyasombat (16:01.20s) dan pelumba skuad kebangsaan Malaysia yang menyarung jersi berkenaan semalam, Muhammad Nur Aiman Rosli di kedudukan ketiga (16:01.20s).
Jersi Polka Dot (Raja Bukit) kekal menjadi milik pelumba Tudor Pro Cycling Team, Simon Pellaud yang sudah mengumpul 20 mata manakala pelumba Green Project-Bardiani CSF-Faizane, Luca Covili di kedudukan kedua, 12 mata dan Matteo Scalco (Green Project-Bardiani CSF-Faizane), 11 mata.
– Berita Harian