SEREMBAN: Meskipun bakal beraksi buat kali pertama, pelumba muda kebangsaan, Abdul Azim Aliyas menyasarkan untuk berada sekurang-kurangnya dalam kelompok 10 terbaik pada setiap peringkat perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 yang akan membuka tirainya, Ahad ini.

Pelumba berusia 22 tahun itu sudah bersedia untuk mempamerkan kayuhan terbaik selepas mendapat pendedahan dalam beberapa kejohanan antarabangsa termasuk di China, awal bulan ini.

“Saya sedar penyertaan pertama dalam LTdL bukan tandingan dan setakat ini tidak meletakkan sasaran mendapatkan jersi, tapi mahu memberikan kayuhan terbaik dan berharap dapat menduduki sekurang-kurangnya kelompok 10 terbaik bagi setiap peringkat.

“Memang bukan mudah bersaing dengan pelumba antarabangsa dan berpengalaman, namun saya akan berusaha untuk mencapai matlamat itu.

“Saya juga akan membantu rakan sepasukan untuk mendapatkan kedudukan di podium,” katanya hari ini.

Abdul Azim yang bernaung di bawah Persatuan Berbasikal Negeri Sembilan (PBNS) akui bimbingan dan latihan peringkat tertinggi yang pernah diterimanya di Belgium selain pengalaman bertanding di pentas antarabangsa menambah kenyakinannya untuk beraksi dalam perlumbaan berprestij itui.

“Ini peluang terbaik untuk buktikan kemampuan pada kejohanan berprestij di tempat sendiri. Saya berharap mendapat keputusan baik dalam perlumbaan itu nanti,” kata Azim yang pernah mendominasi Jelajah Negeri Sembilan 2023.

Sebagai rekod, pelumba Malaysia, Muhammad Nur Aiman Zariff melakar sejarah tersendiri apabila meraih gelaran Raja Bukit pada 2020 dan 2022.

Pasukan negara turut meraih gelaran Raja Pecut menerusi Anuar Manan pada 2010 dan gelaran pelumba terbaik Asia menerusi Adiq Husainie Othman pada 2016.

LTdL 2024 bakal menyaksikan sebanyak 22 pasukan mengambil bahagian termasuk tiga pasukan berstatus WorldTeam iaitu Astana Qazaqstan, EF Education-Easypost dan Team DSM Firmenich Postnl.

– Berita Harian