KUALA LUMPUR: Astana Qazaqstan Team adalah pasukan terawal dalam kalangan pasukan berstatus WorldTeam mengesahkan kemunculannya bagi edisi ke-27 Le Tour de Langkawi 2023 (LTdL) dari 23 hingga 30 September depan.
Walaupun kurang menyerlah dalam perlumbaan besar antarabangsa sepanjang musim 2023 setakat ini, pasukan yang disifatkan antara muka tetap dalam LTdL sejak kemunculan kali pertama pada 2012 itu, masih dianggap antara pencabar hebat pada saingan lapan peringkat LTdL 2023 ini.
Ini berdasarkan rekod pencapaian mereka sejak Alexandr Dyachenko menduduki tangga keempat individu keseluruhan pada 2012 dan bersama-sama Andrey Zeits dan Valentin Iglinsky membantu pasukan itu menduduki tangga kedua berpasukan di belakang Androni Giocatoli-Venezuela.
Kemenangan peringkat pertama Astana dikecapi menerusi pelumba Itali, Andrea Guardini pada Peringkat 7 LTdL 2013 dari Kuantan ke Dungun dan Ricardo Minali menghadiahkan dua kemenangan peringkat pada 2018.
Daripada tiga nama pada era awal itu, Zeits yang kini berusia 36 tahun masih menganggotai pasukan Astana, malah dia turut muncul pada edisi 2022 lalu dan menduduki tangga ke-10 keseluruhan, selain membantu pasukan itu menduduki tangga ketujuh berpasukan.
Walaupun belum menghantar senarai nama enam pelumbanya, penganjur LTdL 2023 yakin pasukan yang diuruskan legenda dunia, Alexander Vinokourov itu akan tetap menurunkan barisan terbaik ke perlumbaan berstatus 2 ProSeries itu.
Dalam satu kenyataan, Ketua Pegawai Operasi LTdL2023, Emir Abdul Jalal berkata, Astana sentiasa ingin menepati reputasinya sebagai pasukan berstatus WorldTeam dalam mana-mana perlumbaan, tidak terkecuali LTdL.
Malah, ranking terbaru pasukan itu yang berada di tangga ke-20 keseluruhan dalam kalangan pasukan profesional Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) dengan 4557.4 mata setakat 8 Ogos lalu, menguatkan ramalan mereka bakal menghantar pelumba terbaik dan seimbang pada edisi kali ini untuk bersaing dalam klasifikasi keseluruhan dan Asia.
“Kesempatan menambah mata ranking dalam LTdL ini pasti tidak mahu dilepaskan oleh Astana terutama menjelang penghujung musim perlumbaan.
“Walaupun mereka mungkin tidak menghantar nama seperti Mark Cavendish, Simone Velasco atau juara kebangsaan Kazakhstan Alexey Lutsenko, saya pasti akan ada nama-nama berpengalaman daripada senarai 30 pelumba pasukan itu yang akan turut serta,” kata Emir.
Menurut Emir, Astana kini berada dalam keadaan terdesak untuk mengukuhkan pungutan mata dalam senarai ranking UCI bagi mengelakkan pasukan yang mempunyai reputasi besar itu terhumban ke kelompok bawahan.
Velasco memenangi Peringkat 3 perlumbaan Vuelta a la Communitat Valenciana tahun ini manakala Cavendish yang diharap menambah koleksi kemenangan Grand Tour tetapi mengalami kemalangan yang menyebabkan patah tulang selangka di Tour de France, hanya mencatat kemenangan pada Peringkat 21 Giro d’Italia.
– Berita Harian