PASUKAN berstatus WorldTeam, Astana Qazaqstan Team mula mempamerkan belang apabila mengungguli Peringkat 2 Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 dari Kuala Terengganu ke Kota Bharu, Kelantan sebentar tadi.
Pakar pecut Astana, Gleb Syritsa melintasi garisan penamat dengan catatan 4 jam 14 minit dan 14 saat (s) bagi meninggalkan dua pencabar terdekatnya, Arvid De Kleijn (Tudor Pro Cycling Team) dan Enrico Zanoncello (Green Project-Bardiani CSF-Faizane).
“Saya amat gembira kerana ia merupakan kemenangan pertama saya tahun ini. Gembira apabila dapat kembali meraih kemenangan di Malaysia, ia satu perlumbaan yang baik di sebuah negara yang hebat ini.
“Semalam (Sabtu) saya ada melakukan kesilapan kerana saya melakukan ‘serangan’ agak awal kira-kira 300 meter menuju garisan penamat. Ia memang sukar tetapi hari ini semuanya berjalan seperti yang dirancang,” katanya.
Sekalipun gagal menjejakkan kaki di podium ‘sang juara’, De Kleijn yang digelar Little Gorilla masih mengekalkan Jersi Hijau selaku pendahulu keseluruhan selepas dia memenangi Peringkat 1 dari Kerteh ke Kuala Terengganu pada Sabtu.
Aiman yang masih kekal dengan pungutan tiga mata tampak mahu mengekalkan tenaganya sebelum kembali ‘berperang’ pada Peringkat 3 dari Jeli, Kelantan ke Baling, Kedah sejauh 183.1km pada Isnin yang bakal menyajikan empat zon pendakian.
Pelumba Roojai Online Insurance, Tegshbayar Batsaikhan dari Mongolia pula berjaya mengekalkan Jersi Putih selaku pelumba terbaik Asia selepas mencatatkan masa keseluruhan 8:40:56s.
– Sinar Harian