KUALA TERENGGANU: Penyandang Jersi Merah Le Tour de Langkawi (LTdL), Muhammad Nur Aiman Zariff dari Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) perlu merangka strategi yang lebih teratur menjelang perlumbaan peringkat kedua dari Kuala Terengganu ke Kota Bharu esok.
Ini disebabkan peringkat ketiga dijangka lebih mencabar apabila bakal melalui Puncak Titiwangsa iaitu kategori 1 di zon pendakian kedua sebelum perlumbaan sejauh 183.1km itu berakhir di Baling, Kedah.
Menurut pelumba kelahiran Terengganu itu, dia berkemungkinan tidak akan memberikan kayuhan sama seperti hari ini selepas berjaya mengumpul mata di zon pendakian Jerangau dan Sekayu.
“Akan cuba seperti hari ini juga tetapi tengok dulu keadaan sebab esok tidak akan mengerah kudrat 100 peratus. Saya perlu memberi fokus untuk peringkat ketiga kerana pada hari itu ada lebih banyak mata pendakian,” kata Aiman.
Selain Puncak Titiwangsa tiga lagi zon pendakian peringkat ketiga ialah di Jeli (Cat2), Puncak Titiwangsa (Cat1), Seri Banding (Cat2) dan Sungai Rui (Cat3).
Hari ini Aiman memulakan misi mempertahankan gelaran Raja Bukit seperti dirancang dengan berjaya meraih Jersi Merah selepas peringkat pertama dari Kerteh ke Kuala Terengganu berakhir petang tadi.
Aiman yang berada dalam misi memburu gelaran Raja Bukit buat kali ketiga berturut-turut berjaya meraih tiga mata keseluruhan pada perlumbaan terpanjang pada edisi ke-27 ini iaitu 187.4 kilometer (km), meninggalkan pencabarnya dari pasukan Roojai Online Insurance, Tegshbayar Batsaikhan, dua mata.
Berada di kedudukan ketiga adalah pelumba Thailand Continental Cycling Team, Siriwut Sirironnachai yang mengumpul satu mata.
Pelumba berusia 25 tahun itu menawan zon pendakian pertama di Jerangau untuk meraih dua mata manakala Sirironnachai mengumpul satu mata di zon berkenaan sebelum Aiman terpaksa berpuashati berada di kedudukan kedua di belakang Batsaikhan di zon seterusnya.
“Kalau ikut perancangan memang Aiman nak ambil dua-dua (tawan) zon pendakian tetapi rezeki hari ini hanya berjaya satu,” kata Aiman yang turut menyatakan dia perlu mengumpul sepenuhnya untuk peringkat perlumbaan seterusnya.
Esok, peringkat kedua dijadual berlangsung dari Kuala Terengganu ke Kota Bharu sejauh 186.2km membabitkan tiga zon pecutan di Bukit Nenas, Bandar Permaisuri dan Peringat selain dua zon pendakian Cat4 di Setiu dan Pelong.
– Harian Metro