LANGKAWI: Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Nur Aiman Rosli bertekad mahu mempertahankan jersi putih untuk pelumba terbaik Asia di Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 yang diraihnya di peringkat pertama, hari ini.
Aiman, yang mempamerkan kayuhan bertenaga, berjaya meraih jersi berkenaan di Pulau Langkawi hari ini, dengan mengumpul empat mata dalam klasifikasi pecut dan satu mata dalam kategori pendakian.
“Saya memang merancang untuk melakukan ‘breakaway’ dan sasaran utama adalah menjadi pelumba terbaik Asia. Ini amat penting bagi saya dan pasukan. Saya harap dapat mengekalkan jersi ini hingga tamat perlumbaan,” katanya yang menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-30 daripada 132 pelumba.
Pelumba Malaysia Pro Cycling (MPC), Mohamad Izzat Hilmi Abdul Halil pula muncul sebagai pelumba terbaik Malaysia selepas menduduki tempat ketujuh.
Esok, saingan LTdL akan diteruskan dengan bagi peringkat kedua, sejauh 154.5 kilometer (km) dari Arau ke Butterworth, yang turut merangkumi tiga zon pecutan di Jitra, Menara Alor Setar, dan Sungai Petani.
Peringkat ketiga pula akan berlangsung dari Taiping ke Cameron Highlands dengan laluan sejauh 170.3 km yang mencabar, melibatkan tiga zon pecutan dan tiga zon pendakian.
Aiman menjangkakan peringkat ketiga bakal menjadi cabaran terbesar untuk mengekalkan status sebagai pelumba terbaik Asia.
“Saya harap keadaan kesihatan baik dan dapat menamatkan perlumbaan dengan cemerlang. Walaupun gembira, saya tidak boleh terlalu lega kerana masih ada banyak hari lagi.
“Saya perlu bijak simpan tenaga untuk tujuh hari baki perlumbaan,” katanya.
– Harian Metro