BINTULU: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, setiap pintu sentiasa terbuka buat mana-mana kerajaan negeri untuk menganjurkan Le Tour de Langkawi (LTdL) terutama melalui mesyuarat exco sukan negeri.
Menurutnya, pada kebiasaannya akan ada mesyuarat bersama exco sukan negeri dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan menyatakan perancangan, jadi pintu sentiasa terbuka untuk mengadakan kerjasama (penganjuran LTdL).
“Cuma dalam kekangan bajet kita kena merancang untuk menyajikan perjalanan yang menarik kepada pelumba dan pasukan yang menyertai perlumbaan ini. Bukan sahaja kerjasama antara negeri, kita juga kena cari sesuatu yang menarik,” katanya dalam sidang media selepas pelepasan pelumba peringkat kelapan LTdL 2024 hari ini.
Ujar Hannah, kalau sesuatu kawasan itu mendatar sahaja ia tidak menarik dan mungkin penyertaan juga akan berkurangan.
“Bagaimanapun, kita memang perlu kerjasama dengan Kementerian Pelancongan dan semua pihak untuk menjayakan program seperti ini. Saya rasa semua negeri berminat tetapi mereka tidak mahu untuk memberikan dana.
“Itu adalah cabaran kami, jadi ramai yang menawarkan tempat dan ruang. Cuma cabaran kami adalah dari segi dana. Jadi kami cuba untuk memberikan yang terbaik dengan menawarkan tempat menarik, di mana kami rasakan kawasan itu bukan sahaja sesuai untuk pelancongan malah menarik buat pelumba,” katanya.
Tambah Hannah, beliau berharap semua menteri besar/ketua menteri memberi lebih perhatian kepada dana pembangunan sukan.
“Mereka harus mempunyai peruntukan dan tidak hanya mensasarkan mahu memenangi Sukan Malaysia (Sukma) sahaja. Mereka harus melihat ini satu pelaburan dengan membawa pelancongan kepada negeri masing-masing,” katanya.
Edisi ke-28 kali ini membabitkan kos sekitar RM20 juta dengan RM8.1 ke RM8.2 juta adalah menerusi penajaan yang diterima.
LTdL 2024 melabuhkan tirainya di Bintulu dengan secara keseluruhan menelusuri laluan sepanjang 1,190 kilometer (km) yang turut membabitkan dua peringkat perlumbaan di Sarawak dan juga di semenanjung.
– Harian Metro