BINTULU – Pelumba Team DSM-Firmenich PostNL, Max Poole melakar sejarah tersendiri apabila muncul juara keseluruhan perlumbaan PETRONAS Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 pada Ahad.

Sekalipun sekadar menamatkan peringkat terakhir iaitu Peringkat 8 di tempat ke-35 dengan merekodkan tiga jam tujuh minit 38 saat (s), catatan masa itu sudah cukup buat Poole mengesahkan kejuaraan menjadi miliknya.

Pakar pendakian dari Great Britain itu ditabalkan selaku juara apabila merakamkan catatan masa keseluruhan 26:27.44s, sekali gus menjadi pemilik mutlak Jersi Hijau bagi edisi ke-28 tahun ini.

Poole juga boleh berbangga apabila berjaya mengekalkan reputasi pelumba dari Great Britain yang menjuarai LTdL selepas pelumba EF Education-EasyPost, Simor Carr muncul juara edisi 2023.

Lebih istimewa, Poole muncul antara pelumba termuda menjuarai perlumbaan paling berprestij di Asia itu pada usia 21 tahun 219 hari – hanya dibezakan sehari dengan juara paling muda dalam sejarah LTdL, Jonathan Monsalve.

Untuk rekod, Monsalve – pakar pendakian kelahiran Venezuela menyambar status selaku juara keseluruhan LTdL 2011 ketika mewakili pasukan Androni Giocattoli pada usia 21 tahun 218 hari.

“Saya hadir ke Malaysia bukan untuk mencipta sejarah baharu LTdL. Terus terang saya katakan, saya tidak pernah terfikir untuk memburu status sebagai pelumba paling muda menjuarai LTdL.

“Sebaliknya saya hanya fokus dengan setiap peringkat perlumbaan. Mungkin kemenangan saya pada Peringkat 3 (dari Taiping ke Cameron Highlands) membuka peluang untuk saya muncul juara keseluruhan.

“Apapun saya gembira dengan kejayaan dalam LTdL tahun ini, ia satu minggu yang cukup hebat. Saya harap dapat kembali beraksi lagi tahun depan untuk mempertahankan kejuaraan ini.

“Kemenangan pada LTdL ini akan memberikan saya suntikan semangat dan motivasi untuk terus memburu lebih banyak kejayaan dalam karier profesional saya,” kata Poole.

Tempat kedua dimenangi pelumba JCL Team Ukyo, Thomas Pesenti yang ketinggalan 0.13s di belakang Poole, manakala pelumba Equipo Kern Pharma di tempat ketiga dengan catatan keseluruhan 26:28.04s.

Pakar pendakian Terengganu Cycling Team (TSG), Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff muncul pelumba terbaik Malaysia apabila menduduki tangga ke-41 keseluruhan dengan catatan masa 26:35.18s.

Di sebalik kejayaan gemilang Poole, LTdL 2024 turut memahat sejarah buat pelumba JCL Team Ukyo, Matteo Malucelli yang meraih kemenangan hatrik selain turut menyaksikan dia ditabalkan selaku Raja Pecut.

Selepas menjuarai Peringkat 2 dan 7, pakar pecut dari Itali itu berjaya memenangi Peringkat 8 – perlumbaan yang mengelilingi bandar Bintulu sejauh 147.5 kilometer (km) bermula dan berakhir di Lasar Kenyalang.

Kejayaan di peringkat terakhir itu sudah cukup buat Malucelli mengesahkan Malucelli selaku pemilik Jersi Jingga bagi menafikan peluang pelumba sensasi Tudor Pro Cycling Team, Arvid de Kleijn mengekalkan staus Raja Pecut kali ini.

Malucelli mengumpul 80 mata – dua mata meninggalkan de Kleijn – pemenang Peringkat 4 dan dan 5 di tempat kedua, manakala pakar pecut Astana Qazaqstab Team, Gleb Syritsa – pemenang Peringkat 1 di tempat ketiga dengan 57 mata.

“Sekali lagi terima kasih kepada rakan-rakan sepasukan saya, mereka melakukan kerja dengan baik. Taktikal hari ini sama seperti semalam, saya hanya melakukan ‘serangan’pada penghujung perlumbaan.

“Saya tidak pernah menyangka akan dapat memenangi tiga kemenangan peringkat LTdL tahun ini. Apa lagi yang saya boleh katakan, menang tiga peringkat dan Jersi Jingga, ia sesuatu yang hebat,” jelas Malucelli.

Sementara itu, pelumba JCL Team UKYO, Manabu Ishibashi mengesahkan status selaku pelumba Terbaik Asia seterusnya menyarung Jersi Putih apabila merekodkan catatan masa keseluruhan 26:30.02s.

Jersi Polka Dot selaku Raja Bukit pula sah menjadi milik pelumba Burgos-BH, Munoz Mario Aparicio yang mengumpul 27 mata selepas tiada zon pendakian pada peringkat terakhir.

Seperti diramal, pasukan berpangkalan di Sepanyol, Equipo Kern Pharma muncul juara keseluruhan apabila merekodkan masa 79:24.12s, diikuti Astana Qazaqstan Team (79:25.42s) dan Team Polti Kometa (79:25.52s).

JCL Team UKYO pula muncul pasukan terbaik Asia dengan catatan masa keseluruhan 79:35.36s, diikuti pasukan kebangsaan Thailand (79:58.24s) dan Malaysia Pro Cycling (MPC), 79:58.46s.


KEPUTUSAN LTdL 2024

  • Jersey Hijau PETRONAS
    Max Poole (DSM Firmenich PostNL)
  • Pelumba Terbaik Asia (Jersi Putih MSN)
    Ishida Manabu (JCL Team Ukyo)
  • Sprinter Terbaik (Jersi Oren KBS)
    Matteo Malucelli (JCL Team Ukyo)
  • Raja Bukit – KOM (Jersi Polka Dot Tourism Malaysia)
    Mauro Aparicio Munoz (BBH)
  • Pasukan Terbaik
    Equipo Kern Pharma
  • Pasukan Terbaik Asia
    JCL Team Ukyo