KULAI: Jaguh pecut VF-Group Bardiani, Manuele Tarozzi berjaya menamatkan penantian untuk menjuarai peringkat keenam siri jelajah Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 sejauh 123.4 kilometer (km) sebentar.

Pada perlumbaan bermula dari Batu Pahat, Johor ke Kulai itu, Tarozzi yang mewakili pasukan bertaraf ProTeam itu berjaya menamatkan saingan dalam tempoh dua jam 28 minit 58 saat (s).

Pelumba kelahiran Itali itu berkata, kemenangan pertama yang diraih dalam kejohanan LTdL sejak menyertai buat kali pertama pada edisi tahun lalu adalah sesuatu yang cukup istimewa.

“Pada edisi lepas, saya datang ke LTdL tetapi tidak menang sebarang peringkat. Justeru, saya rasa ini adalah kemenangan yang cukup manis dan pasukan kami sangat suka dengan Malaysia.

“Mengenai perlumbaan kali ini, saya rasa cabaran yang diberikan oleh pelumba pesaing cukup sengit terutama ketika saya telah melakukan breakaway.

“Namun, saya berjaya kekalkan rentak sehinggalah pecutan terakhir dilakukan pada satu kilometer terakhir,” kata pelumba berusia 26 tahun itu selepas tamat perlumbaan.

Seperti dijangka, pemenang peringkat ketiga yang juga pelumba Team DSM-Firmenich, Max Poole masih mengekalkan jersi hijau selepas menjadi pendahulu keseluruhan diikuti Thomas Pesenti (JCL Team UKYO) dan Unai Iribar Jauregi (Equipo Kern Pharma).

– KOSMO