KULAI: Pelumba tempatan, Muhammad Iqbal Daniel Mohd Nawawi yang beraksi bersama pasukan China, Henxiang Cycling Team, terus mencuri tumpuan apabila mempamerkan prestasi cemerlang dalam saingan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 sehingga Peringkat Keenam, hari ini.

Dalam perlumbaan sejauh 123.4 kilometer dari Batu Pahat ke Kulai itu, Iqbal, 20, menamatkan saingan di tempat ke-96 daripada 103 pelumba.

Walaupun berada di kelompok belakang, persembahannya tetap memikat hati pasukan Henxiang yang seterusnya menawarkan sambungan kontrak.

Iqbal yang berasal dari Kemaman, Terengganu, menjadi antara pelumba muda yang menunjukkan potensi besar apabila melepasi beberapa peringkat mencabar seperti ‘Queen Stage’ di Cameron Highlands serta laluan berbukit dalam Peringkat Keempat dan Kelima.

“InsyaAllah, lepas LTdL ini saya akan ke China untuk menandatangani kontrak musim depan bersama Henxiang.

“Saya hanya mahu buat yang terbaik untuk pasukan serta membawa nama Malaysia ke persada dunia,” katanya selepas tamat perlumbaan hari ini.

Henxiang sebenarnya sudah lama memantau perkembangan Iqbal sejak awal tahun, namun dia memilih untuk menangguhkan penyertaan dalam pasukan itu bagi memberi tumpuan kepada kejohanan kebangsaan dan Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2024.

Iqbal sebelum ini mencipta kejayaan besar di Sukma Sarawak 2024 apabila meraih dua pingat emas dalam acara lebuh raya individu dan berpasukan serta satu pingat perak dalam acara kriterium.

Pencapaian Iqbal wajar dipuji kerana ini adalah penampilan pertamanya di LTdL dan melepasi cabaran sukar berbanding pakar pecut berpengalaman, Harrif Saleh (Terengganu Cycling Team) dan Izzat Hilmi Abd Halil (Malaysia Pro Cycling) yang tersingkir sejak di Peringkat Keempat.

– Harian Metro