BENTONG – Pelumba Tudor Pro Cycling Team, Arvid de Kleijn mempamerkan semula watak sebagai ‘sang juara’ selepas menjuarai perlumbaan Peringkat 4 PETRONAS Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 di Dataran Bentong pada Rabu.

Lebih dikenali dengan gelaran Little Gorilla, de Kleijn menamatkan perlumbaan yang bermula dari Kuala Kubu Bharu, Selangor sejauh 131.2 kilometer (km) itu dengan catatan masa dua jam 53 minit 37 saat (s).

“Agak sukar perlumbaan hari ini buat pelumba pecut kerana ada pendakian (di GAP). Tetapi semua pelumba melakukan tugas dengan baik bagi ‘menangkap’ kumpulan breakaway dan saya hanya fokus melakukan pecutan.

“Pujian harus diberikan kepada rakan-rakan sepasukan saya yang bekerja keras sepanjang perlumbaan hari ini. Saya rasa bertanggungjawab apabila gagal membantu pasukan sekurang-kurangnya dua peringkat sebelum ini.

“Ini adalah perlumbaan yang cukup sengit. Sekarang saya sudah kembali mendapatkan momentum terbaik seperti mana ketika saya memenangi dua peringkat perlumbaan LTdL tahun lalu,” kata de Kleijn.

Kejayaan menawan perlumbaan Peringkat 4 menyaksikan de Kleijn berjaya menambah koleksi kemenangan di pentas LTdL selepas pakar pecut dari Belanda itu memenangi Peringkat 1 dan 6 LTdL 2023.

Pelumba JCL Team UKYO, Matteo Malucelli yang memenangi Peringkat 2 pada Isnin lalu, mengakhiri perlumbaan di tempat kedua, manakala pelumba Team Polti Kometa, Manuel Penalver di tempat ketiga.

Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Mohamad Nur Aiman Mohd Zariff muncul selaku pelumba terbaik Malaysia pada peringkat kali ini apabila menamatkan perlumbaan di tempat ke-25, juga dengan catatan masa sama.

Sekalipun gagal menjejakkan kaki di podium di Peringkat 4, pelumba Team DSM-Firmenich PostNL, David Max Poole masih kekal menyarung Jersi Hijau selaku pendahulu keseluruhan dengan catatan 12:57.35s.

Pakar pendakian kelahiran Great Britain berusia 21 tahun itu diekori rapat pelumba JCL Team UKYO, Thomas Pesenti yang mana mereka hanya dibezakan dengan 0.06s, manakala pelumba Equipo Kern Pharma, Unai Iribar di tempat ketiga.

Di sebalik kejayaannya mempertahankan Jersi Hijau, Poole terpaksa akur melepaskan Jersi Polka Dot selaku Raja Bukit kepada pelumba Burgos-BH, Munoz Mario Aparicio yang kini mengumpul 20 mata.

Poole jatuh di tangga kedua dengan kutipan 15 mata, manakala pelumba Astana Qazaqstan Team, Anthon Charmig kekal berada di tempat ketiga apabila merekodkan 12 mata.

Jersi Jingga selaku Raja Pecut pula kekal milik Malucelli yang mengumpul 34 mata, diikuti de Kleijn dengan 30 mata, manakala pelumba Astana Qazaqstan Team, Gleb Syritsa yang menjuarai Peringkat 1 mengutip 26 mata.

Pelumba JCL Team UKYO, Manabu Ishibashi turut mengekalkan Jersi Putih (Terbaik Asia) dengan catatan 12:59.44s, diikuti rakan sepasukannya, Yuma Koishi (13:02.25s) dan pelumba Aisan Racing Team (AIS), Keigo Kusaba (13:02.29s).

Selepas empat peringkat, pasukan Equipo Kern Pharma terus mengekalkan status selaku pendahulu keseluruhan apabila merekodkan masa 38:53.18s diikuti Astana Qazaqstan Team (38:54.49s) dan Team Polti Kometa (38:54.58ss)

Bagi kategori Asia, pasukan JCL Team UKYO juga kekal pendahulu dengan catatan keseluruhan 39:04.42s diikuti pasukan kebangsaan Thailand (39:27.30s) dan Malaysia Pro Cycling (MPC), 39:27.52s.

Peringkat 5 pada Khamis yang bermula dari Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC) ke Melaka sejauh 167.3km menampilkan tiga zon pecutan di Semenyih, Seremban dan Rembau dan tiga zon pendakian di Ampang, Bukit Hantu dan Mantin.