CAMERON HIGHLANDS: Pelumba Malaysia Pro Cycling (MPC), Muhammad Syawal Mazlin mengotakan janji apabila menjadi pelumba terbaik negara peringkat ketiga Le Tour de Langkawi (LTdL) sebentar tadi.
Pada perlumbaan yang bermula di Taiping ke Cameron Highlands sejauh 170.3 kilometer (km) itu, Syawal menamatkan saingan di kedudukan ke-44 daripada 127 pelumba yang bersaing hari ini.
Syawal yang berasal dari Brinchang mengakui sudah berikan yang terbaik tetapi terpaksa akur dengan kehebatan luar biasa barisan pakar pendaki dari benua Eropah dan Amerika Selatan.
“Lagi beberapa kilometer menuju ke garisan penamat mereka sudah berada pada tahap lain. Saya belum sampai tahap itu.
“Apa yang pasti, saya sangat bersyukur kerana impian dari kecil tercapai untuk menyertai perlumbaan LTdL. Lagi-lagi di tempat sendiri,” kata Syawal yang baru berusia 20 tahun.
Mengulas lanjut, Syawal mengakui perasaan bercampur-baur selepas melihat keluarga terdekat setia menunggu selepas melintasi garisan penamat.
“Sebelum ini arwah datuk saya mahu menunggu saya di sini namun tiga hari sebelum LTdL dia pergi dulu. Allah lebih sayangkan dia.
“Saya bawa semangatnya datang ke sini,” katanya.
– Kosmo