BUTTERWORTH: Ibarat jatuh ditimpa tangga. Itulah peribahasa sesuai buat pelumba skuad kebangsaan, Elmi Jumari apabila didenda 200 Swiss Franc (RM978.50) oleh Persekutuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) sebentar tadi.
Menerusi keputusan dikeluarkan komisar Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024, Elmi didakwa menjadi punca kemalangan Peringkat Kedua ketika 150 meter (m) sebelum menuju ke garisan penamat di Butterworth.
Menurut jurulatih kebangsaan, Yusof Nasir, Elmi mengalami patah jari dan sedang menunggu imbasan x ray sebelum dipindahkan ke wad.
“Elmi kini dipindahkan ke hospital swasta dari Hospital Seberang Jaya untuk mendapatkan penilaian dan rawatan lanjut.
“Saya dimaklumkan dia mengalami patah jari dan bukannya putus jari seperti yang ditularkan di media sosial.
“Dia berada dalam keadaan stabil selepas mendapat rawatan, tetapi belum boleh menerima mana-mana pelawat ketika ini,” katanya ketika dihubungi.
Perlumbaan Peringkat Kedua LTdL 2024 dimenangi pelumba JCL Team Ukyo, Matteo Malucelli yang menamatkan saingan dengan catatan masa 3 jam 34 minit 54 saat (s).
Tempat kedua milik pelumba Polti Kometa, Manuel Penalve Aniorte dan ketiga, pelumba pasukan Tudor Cycling Team, Arvid de Kleijn.
– Harian Metro