BUTTERWORTH – Pelumba JCL Team Ukyo, Matteo Malucelli menampilkan kayuhan bertenga apabila menjuarai perlumbaan Peringkat 2 PETRONAS Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 yang berakhir di Dewan Pemuda Merdeka pada Isnin.

Pada perlumbaan yang bermula dari Arau, Perlis itu, Malucelli merekodkan catatan tiga jam 34 minit 58 saat (s) diikuti Manuel Penalver daripada Team Polti Kometa manakala pelumba Tudor Pro Cycling Team, Arvid de Kleijn di tempat ketiga.

Tonggak berpengalaman Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd Harrif Saleh pula mencuri tumpuan apabila muncul pelumba terbaik Malaysia Peringkat 2 selepas menamatkan perlumbaan di tangga ketujuh dengan catatan sama.

“Saya amat gembira dengan kemenangan pertama pada perlumbaan berstatus 2 Pro. Sudah tentu ia akan menjadi pembakar semangat buat saya untuk terus memburu kemenangan dalam jelajah profesional ini.

“Kemenangan ini bukan sahaja penting buat diri saya, malahan juga pasukan kami. Kami sudah bertungkus-lumus sejak beberapa minggu lalu bagi menghadapi perlumbaan LTdL kali ini.

“Saya berpuas hati kerana akhirnya dapat menghadiahkan kemenangan buat pasukan. Terima kasih kepada rakan-rakan sepasukan yang banyak membantu sejak awal perlumbaan hari ini,” kata Malucelli.

Perlumbaan Peringkat 2 sejauh 154.5 kilometer (km) itu turut diselubungi insiden kemalangan membabitkan beberapa pelumba termasuk dua pelumba kebangsaan Malaysia, Thailand dan Filipina sehingga mereka terpaksa dikejarkan ke hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang.

Insiden kemalangan itu berlaku kira-kira 100 meter (m) terakhir yang menyaksikan berlakunya rempuhan beramai-ramai selepas salah seorang pelumba melanggar penghadang laluan di tepi jalan ketika mereka menuju ke ke garisan penamat.

“Pada jarak 200m terakhir, saya melihat ada lebih banyak ruang pada sebelah kanan. Jadi saya terus mengalih fokus pada sebelah kanan dan terus memecut sehingga menuju garisan penamat.

“Saya tidak tahu apa yang berlaku di belakang (insiden kemalangan). Agak malang buat mereka yang mengalami kemalangan itu kerana masing-masing cuba mencari ruang untuk melakukan pecutan di laluan lurus,” jelas Malucelli.

Dalam pada itu, pelumba Astana Qazaqstan Team, Gleb Syritsa yang mengakhiri perlumbaan di tangga kelima, masih kekal menyarung Jersi Hijau selaku pendahulu keseluruhan apabila mencatatkan masa 5:39.23s.

Syritsa yang memenangi Peringkat 1 di Langkawi pada Ahad, kini diekori rapat Malucelli apabila mereka hanya dibezakan dengan 0.02s, manakala pelumba TSG, Muhammad Nur Aiman Rosli di tangga ketiga apabila merekodkan masa 5:39.27s.

Aiman masih kekal menyarung Jersi Putih selaku pelumba Terbaik Asia, sambil dia dia dicabar pelumba HKS Pro Cycling Team, Ng Pak Hang dan pelumba kebangsaan Malaysia, Muhammad Yusri Shaari.

Syritsa yang disebut-sebut sebagai antara calon pilihan menjuarai LTdL 2024 turut mengekalkan Jersi Jingga selaku Raja Pecut apabila mengumpul keseluruhan 23 mata, diikuti Malucelli (22 mata) dan Penalver (17 mata).

Dengan ketiadaan zon pecutan pada Peringkat 2, Jersi Polka Dot selaku Raja Bukit masih milik pelumba Ara Skip Capital, Tyler Tomkinson yang mengumpul dua mata, manakala Aiman kekal berada di belakangnya dengan kutipan satu mata.

Selepas dua peringkat, pasukan VF Group-Bardiani CSF-Faizanie muncul selaku pendahulu keseluruhan apabila merekodkan masa 16:58.45s diikuti Corratec Vini Fantini dan JCL Team Ukyo.

Peringkat 3 pada Selasa akan bermula dari Taiping, Perak ke Cameron Highlands sejauh 170.3km membabitkan tiga zon pendakian di Kuala Kangsar, Kampung Raja dan Brinchang dan tiga zon pecutan di Kuala Kangsar, Sungai Siput dan Ipoh.