LANGKAWI: Mempertahankan jersi putih selaku pelumba terbaik Asia menjadi misi utama buat pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Muhammad Nur Aiman Rosli di Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024.

Aiman berjaya menyarung jersi putih berkenaan di Peringkat 1 yang berlangsung di Pulau Langkawi hari ini selepas berjaya mempamerkan kayuhan bertenaga dengan mengumpul empat mata dalam klasifikasi pecut dan satu mata pendakian.

“Memang perancangan saya untuk melakukan ‘breakaway’ dan saya mahu menjadi pelumba terbaik Asia. Ia adalah sesuatu yang amat penting buat saya dan juga pasukan.

“Saya mahu menyarung jersi ini sehingga akhir (tamat LTdL), dan itu adalah harapan saya,” kata Aiman yang menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-30 daripada 132 pelumba.

Pelumba Malaysia Pro Cycling (MPC), Mohamad Izzat Hilmi Abdul Halil pula muncul selaku pelumba terbaik Malaysia apabila menemui garisan penamat di tempat ketujuh.

Saingan LTdL 2024 esok akan beralih ke perlumbaan Peringkat 2 dari Arau ke Butterworth sejauh 154.5 kilometer (km), membabitkan tiga zon pecutan di Jitra, Menara Alor Setar dan Sungai Petani.

Peringkat 3 pula dijadual berlangsung dari Taiping ke Cameron Highlands dengan membabitkan laluan sejauh 170.3km, merangkumi tiga zon pecutan dan juga tiga zon pendakian sekali gus memberi cabaran buat Aiman cuba mengekalkan gerakan terbaik Asia.

“Saya harap keadaan di Peringkat 3 nanti, keadaan saya OK dan dapat menamatkannya dengan baik. Bagi saya semua pelumba Asia hebat dalam pendakian dan saya kenal lebih agresif lagi.

“Perasaan saya, tak boleh gembira sangat kerana masih banyak lagi hari (perlumbaan). Apapun saya gembira dan akan menggunakan perancangan lain untuk mengharungi tujuh hari lagi.

“Saya kena jimatkan tenaga untuk baki hari perlumbaan,” katanya.

– Berita Harian