LANGKAWI: Pelumba pecut Nusantara Pro Cycling Team, Zulhelmi Zainal tekad untuk membantu pasukan dari Indonesia itu untuk merangkul gelaran Pasukan Terbaik Asia pada kejohanan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024.
Pelumba berusia 24 tahun itu, yakin gelaran tersebut akan berada dalam genggamannya susulan keserasian antara pelumba dalam skuad berkenaan semakin baik menjelang perlumbaan Peringkat 1, esok di Pulau Langkawi.
“Kami akan cuba yang terbaik kerana itu misi utama yang pasukan mahukan iaitu untuk berada dalam pasukan terbaik Asia.
“Pada tahun ini saya juga cuba untuk meraih gelaran pelumba terbaik Asia pada saingan peringkat,” katanya kepada pemberita di Pulau Langkawi, kelmarin.
Zulhelmi yang mewakili skuad kebangsaan pada edisi tahun lalu meraih pencapaian terbaiknya menerusi gelaran pelumba Terbaik Asia pada perlumbaan Peringkat 4 dari Bukit Mertajam ke Meru Raya.
Sementara itu, pemenang pingat emas SUKMA 2022 berkenaan, mahu memperbaiki kedudukan pada penampilan keduanya berbanding kemunculan sulung pada LTdL 2023.
“Untuk Peringkat 1 dan 2 ini, saya ingin memperbaiki kedudukan tahun lalu. Kalau boleh saya mahu di kedudukan dalam kelompok lima atau 10 yang terbaik.
“Itu harapan yang saya yang ingin saya lakukan pada perlumbaan kali ini. Saya juga mahu menamatkan saingan di podium pada kejohanan ini,” ujarnya.
LTdL 2024 dijadual membuka tirainya pada esok di Pulau Langkawi yang membabitkan laluan sejauh 96.5 kilometer (km) sebelum saingan diteruskan ke Peringkat 2 dari Arau ke Butterworth pada hari berikutnya.
– Utusan Malaysia