LANGKAWI: Pasukan Malaysia Pro Cycling (MPC) meletakkan tiga sasaran iaitu merangkul Jersi Putih (Terbaik Asia), Jersi Merah (Raja Bukit) dan meraih podium pada perlumbaan Peringkat 1 di Pulau Langkawi, esok.

Menurut Pengarah Sukan (MPC), Sayuti Zahit, sasaran itu mudah untuk dicapai berikutan sudah membuat pemantauan terhadap 20 kilometer (km) terakhir menuju garisan penamat yang mana akan berlaku pemecahan kumpulan kecil.

“Pada 20km terakhir, ianya agak mencabar di kawasan Bukit Malut. Kalau tidak membuat pemantauan awal di situ, berkemungkinan akan berlaku banyak pemecahan sebelum menuruni bukit dengan laju malah boleh terjadinya penamat keseorangan.

“Saya mahu keputusan yang positif untuk MPC dalam peringkat pertama ini. Tidak ada masalah untuk pelumba saya memberikan persembahan terbaik walaupun buat pertama kali menggunakan tenaga tempatan (import ketika bersama Team Sapura Cycling), ” kata Sayuti kepada pemberita di sekitar Pulau Langkawi, semalam.

Sementara itu, Sayuti mendedahkan, beliau mempertaruhkan Izzat Hilmi Abdul Jalil dan Ahmad Syazrin Awang Ilah sebagai pelumba pecut manakala baki empat pelumba akan menakluk zon pendakian.

“Kita mempunyai empat pendaki yang ampuh iaitu Zawawi Azman, Syawal Mazlin, Zulfikri Zulkifli dan Fahmi Khairul untuk mencabar Jersi Merah.

“Saya sudah lihat dan mereka sudah membuktikan kemampuan di Jelajah Salalah di Oman,” tambahnya

Sebanyak 22 pasukan akan menyertai perlumbaan edisi ke 38 ini dengan jarak keseluruhan 1,190km bermula 29 September di Pulau Langkawi dan buat julung kali memasuki Miri dan Bintulu di Sarawak.

– Utusan Malaysia