LANGKAWI: Sebanyak 22 pasukan melaungkan semangat untuk mengharungi saingan jelajah Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 selepas majlis pengenalan pasukan berlangsung dengan cukup meriah di Dataran Lang, Kuah sebentar tadi.
Lebih menarik, ini adalah kali pertama dalam tempoh enam tahun Langkawi diberikan mandat untuk menjadi tuan rumah acara pembukaan kejohanan berprestij Asia sejak edisi 2018.
Majlis berkenaan disempurnakan oleh Tunku Mahkota Kedah, Tunku Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin, dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim selain disaksikan ratusan pelancong dan penduduk tempatan.
Seramai 132 pelumba yang mewakili 22 pasukan berstatus WorldTeam, ProTeam, Continental, dan pasukan kebangsaan bakal bersaing pada kejohanan berprestij benua Asia yang dianjurkan buat kali ke-28 ini.
Perlumbaan LTdL 2024 meliputi jarak keseluruhan sebanyak 1,190 kilometer (km) dengan membabitkan 10 negeri di sekitar Semenanjung sebelum berakhir di Sarawak.
Perlumbaan LTdL 2024 akan bermula pada Ahad ini bagi Peringkat 1, disusuli Peringkat 2 dari Arau ke Butterworth, Taiping ke Cameron Highlands (Peringkat 3), Kuala Kubu Baru ke Bentong (Peringkat 4), Kuala Lumpur ke Melaka (Peringkat 5), Batu Pahat ke Kulai (Peringkat 6), Miri ke Bintulu (Peringkat 7), dan Bintulu (Peringkat 8).
– Kosmo