LANGKAWI: Pihak pengurusan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 sentiasa bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan yang tidak diingini di sepanjang edisi kali ke-28 yang akan membuka tirainya Ahad ini.

Ketua Pegawai Operasi (COO) LTdL 2024, Emir Abdul Jalal berkata, tidak kira apa pun halangan yang bakal berlaku, pihaknya sudah menyediakan ‘pelan B’ bagi memastikan perlumbaan berprestij di Asia itu tetap berlangsung seperti diharapkan.

“Untuk laluan di Langkawi sehingga enam di Semenanjung Barat, memang ada hujan tetapi hujan atau cerah, (perlumbaan) kena jalan. Kita juga ada undang-undang UCI. Kalau hujan terlalu lebat… ada banjir atau sebagainya, kita (pilihan) sama ada neutralkan perlumbaan atau batalkan, itu boleh, tiada masalah.

“Kita pun bukan tak biasa membuat laluan alternatif. Pihak kami sentiasa ada laluan alternatif dan ia tidak mengganggu permulaan dan penamat. Jadi di Langkawi laluan baik dan di utara sana Kedah, tinjauan kita (dilihat) laluan itu InsyaAllah OK,” kata Emir ketika ditemui media.

Kali terakhir LTdL terpaksa mengubah laluan adalah pada 2022 yang membabitkan Peringkat 7 dari Kuah ke Gunung Raya kerana cuaca buruk, banjir dan tanah runtuh.

Laluan sejauh 90.8 kilometer (km) itu digantikan dengan laluan Peringkat 8 membabitkan Loop Langkawi malah, Emir yang pernah menggalas tanggungjawab kelancaran perlumbaan pada 2011, berjaya mengatasi isu yang hampir sama.

“Kita lihat semula 2011 dari Melaka ke Nilai. Masa pertukaran (laluan) tak ubah permulaan dan penamat tetapi kita buat laluan alternatif untuk sampai ke Nilai. Malah komisar turut terkejut bagaimana kita melakukannya.

“Kalau di Eropah, sudah batal sekiranya banjir tetapi kita ada laluan alternatif dan kita dapat buat semua zon pecut dan mendaki… ini bermaksud, persediaan dari pihak kami itu sentiasa ada perancangan seterusnya,” kata Emir.

Edisi ke-28 LTdL tahun ini menyaksikan Pulau Langkawi kembali tersenarai selain turut menyajikan dua peringkat perlumbaan julung kalinya bakal dilangsungkan di Sarawak iaitu bandar Miri dan Bintulu dengan jarak keseluruhan merangkumi 1,190 kilometer (km).

– Berita Harian