LANGKAWI: Selepas lima tahun, Mohd Elmi Jumari kembali ke kancah Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 dengan membawa misi mendapatkan penamat terbaik buat pasukan kebangsaan.
Kali terakhir Elmi menyertai LTdL adalah pada tahun 2018 dan bagi pelumba berusia 34 tahun itu, kerjasama erat antara rakan sepasukan terutama ketika memasuki pecutan terakhir amat penting bagi melengkapkan hasrat pasukan.
Elmi berkata, dia sentiasa bekerja rapat dengan Abdul Azim Aliyas yang bertindak membantu ‘menariknya’ di kilometer terakhir perlumbaan selain beberapa pelumba lain seperti Muhammad Afiq Huznie Othman dan Muhammad Yusri Shaari.
“Sebelum ini saya banyak menyertai perlumbaan di jelajah yang turut disertai pasukan profesional. Sebenarnya, tak ada kelebihan sangat buat mereka (pelumba luar), kita sebagai pelumba Asia juga mampu berlawan dengan mereka namun kita kena tengok kedudukan kita sebelum memasuki pecutan terakhir.
“Dengan bantuan daripada rakan sepasukan untuk bawa ke hadapan, saya akan dapat buat pecutan akhir dengan lebih selesa dan berjaya ke garisan garisan penamat,” katanya ketika ditemui media hari ini.
“Buat masa ini, dalam latihan… Azim selalu menjadi ‘pacer’ terakhir untuk bawa saya ke kilometer terakhir di hadapan. Sebelum LTdL, kami menyertai Tour of Poyang Lake di China.
“Saya sudah serasi dengan Azim dan Azim pun sudah mencuba perbaiki hari demi hari untuk bawa saya ke hadapan. Walaupun dia pelumba muda, dia cuba untuk bantu saya dapatkan kedudukan terbaik di hadapan.
Skuad kebangsaan yang dipimpin Mohd Yusof Abdul Nasir turut dibarisi Muhsin Al Redha Misbah dan Tsen Ren Bao pada edisi ke-28 LTdL yang membabitkan laluan keseluruhan sejauh 1,190 kilometer.
– Berita Harian