PETALING JAYA: Penganjur Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024, Majlis Sukan Negara (MSN) tidak akan mengubah laluan di saat akhir walaupun ketika ini cuaca buruk melanda di beberapa buah negeri di utara tanah air.
Jaminan itu diberikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengelola LTdl, Abdul Rashid Yaakub yang mengakui pihaknya kini memantau rapat terhadap perkembangan cuaca di Langkawi, Kedah iaitu lokasi pertama perlumbaan peringkat pertama diadakan pada 29 September ini.
“Sebenarnya untuk LTdl, hari-hari kita pantau keadaan cuaca terutamanya di Langkawi. Kita pun memang ada rasa bimbang dan saya fikir semua orang pun maklum terutamanya dengan keadaan cuaca di kawasan pantai barat dan di kawasan pantai.
“Ada peristiwa di mana feri tidak dapat bergerak. Memang ada kebimbangan itu namun kita ada tempoh 10 hari (untuk pantau). Insya-Allah kita harapkan cuaca memberi kemudahan untuk ita dan meneruskan acara ini dengan lancar.
“Bagaimanapun, kita akan bersedia dengan keadaan tertentu. Jika keadaan berlaku sebaliknya kita akan buat perubahan kecil untuk memastikan perjalanan acara itu tetap berjalan dengan baik. Laluan mungkin sukar diubah,” katanya.
Kebimbangan mula timbul selepas dua hari lalu feri yang membawa 567 penumpang terkandas di beting pasir selama beberapa jam sebelum selamat tiba di Langkawi pada malamnya.
Media sebelum ini turut melaporkan tiga buah feri dari Kuala Kedah ke Langkawi yang membawa 610 penumpang terpaksa berpatah ke Terminal Feri Kuala Kedah berikutan ombak kuat serta ribut.
Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada bagi Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak dengan menjangkakan ribut petir dan angin kencang.
Abdul Rashid juga merupakan Ketua Pengarah MSN berkata antara pelan alternatif yang bakal diambil jika hujan lebat melanda adalah dengan mengubah waktu pertandingan.
“Bagaimanapun, pelumba masih boleh meneruskan perlumbaan namun terpulang kepada komisar pertandingan,” katanya.
Perlumaan LTdL edisi ke-28 menawarkan lapan peringkat perlumbaan meliputi 1,191.1 kilometer (km) menyelusuri 11 negeri bermula di Langkawi, Kedah dan berakhir di Bintulu, Sarawak pada 6 Oktober ini.
– Utusan Malasia