KUALA LUMPUR – Pelumba muda negara, Zulhelmi Zainal bakal menggalas cabaran pasukan benua dari Indonesia, Nusantara Pro Cycling Team pada perlumbaan Petronas Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024.

Selepas tampil kali pertama di pentas LTdL tahun lalu bersama pasukan kebangsaan Malaysia, Zulhelmi kini memikul tanggungjawab lebih besar apabila membawa nama ‘negara luar’, Nusantara – satu-satunya wakil dari Indonesia.

Sedar tugas berat yang bakal menanti, Zulhelmi tetap teruja menyarung jersi Nusantara pada kejohanan lebuh raya berbasikal paling berprestij di rantau Asia itu yang bermula dari 29 September hingga 6 Oktober depan.

“Ia umpama mimpi menjadi kenyataan. Selepas berakhirnya LTdL tahun lalu, saya sememangnya menanam azam untuk mewakili pasukan benua dan ia akhirnya menjadi kenyataan. Pada awal tahun ini, saya menyertai pasukan benua Nusantara dengan kontrak selama setahun dan ini merupakan peluang buat saya untuk mengembangkan karier dalam arena lumba basikal lebuh raya.

“Perlumbaan LTdL tahun ini akan menjadi medan terbaik buat saya untuk mempamerkan kualiti yang ada pada diri saya. Saya sudah tidak sabar menanti LTdL tahun ini,” kata pelumba berusia 24 tahun kelahiran Kluang, Johor itu.

Zulhelmi menampilkan prestasi mengagumkan pada LTdL 2023 apabila dia mengakhiri perlumbaan Peringkat 4 dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang ke Meru Raya, Ipoh, Perak selaku pelumba terbaik Asia.

“Saya berpuas hati dengan prestasi saya pada LTdL pertama tahun lalu. Terima kasih kepada coach (Mohd Yusof Nasir) kerana memberi peluang kepada saya menyertai pasukan kebangsaan Malaysia. Sudah tentu banyak pengalaman yang saya peroleh biarpun kali pertama menyertai LTdL. Pengalaman yang ada itu akan saya gunakan sebaik mungkin pada LTdL tahun ini bersama-sama pasukan Nusantara,” jelasnya.

Dalam pada itu, Zulhelmi berkata, dia tidak mengikuti latihan di Indonesia bersama-sama rakan sepasukan baharunya, sebaliknya terus ‘memanaskan badan’ di Malaysia sebagai persiapan menghadapi LTdL 2024.

“Bagi saya tidak banyak bezanya jika saya menjalani latihan di Indonesia atau Malaysia. Apa yang paling penting, saya menjalani persediaan rapi sebagaimana pelumba lain sebelum LTdL bermula. Di sini saya masih berlatih bersama rakan-rakan pelumba Malaysia. Jadi saya tidak keseorangan kerana tetap menjalani latihan seperti biasa, cuma bukan dengan rakan-rakan pasukan Nusantara,” ujarnya.

Ditanya mengenai sasaran peribadinya pada LTdL tahun ini, Zulhelmi yang juga pelumba berbasikal trek negara lebih cenderung mengambil pendekatan realistik, tanpa mahu menjanjikan ‘bulan dan bintang’.

“Cukup jika saya letak sasaran berada dalam kelompok terbaik terutamanya pada perlumbaan peringkat laluan mendatar atau setidak-tidaknya saya dapat memperbaiki pencapaian tahun lalu. Apa pun, semua itu bergantung kepada strategi pasukan. Buat masa ini, kami belum berbincang ke arah itu (sasaran pasukan), tetapi bagi sasaran peribadi, sudah tentu saya mahu mencapai keputusan lebih baik berbanding tahun lalu,” katanya.

Edisi ke-28 LTdL tahun ini menyaksikan Pulau Langkawi kembali tersenarai selain turut menyajkan dua peringkat perlumbaan julung kalinya bakal dilangsungkan di Sarawak iaitu bandar Miri dan BIntulu dengan jarak keseluruhan merangkumi 1,190 kilometer (km).