Sainbayar bukan nama asing kepada peminat sukan berbasikal lebuh raya negara apabila mewakili pasukan profesional tempatan, Terengganu Cycling Team (TSG), daripada 2021 hingga 2023, dan melakar banyak kejayaan bersama TSG termasuk memenangi jersi putih Pelumba Terbaik Asia dalam LTdL 2022 dan pemenang jersi kuning Jelajah Thailand 2021.
Sainbayar, 27, yang baru menyelesaikan misi Mongolia dalam acara lebuh raya Sukan Olimpik Paris 2024 dengan menduduki tangga ke-57 dan ujian masa individu di tempat ke-28, berpisah dengan TSG dan menyarung jersi Burgos BH sejak hujung 2023 dengan kontrak setahun sebagai usaha mengembangkan sayapnya bertanding di peringkat Eropah selepas bergelar pelumba profesional pertama Mongolia.
Pasukan Burgos BH dilihat begitu serius mengembangkan sayap mereka di rantau Asia dengan melakar beberapa kejayaan dalam perlumbaan serantau, termasuk memenangi tiga peringkat perlumbaan Tour of Qinghai Lake (2.Pro) dan Tour of Sharjah.
Selain kehadiran Sainbayar, yang pastinya mahir dalam selok belok keadaan perlumbaan di Malaysia, tiga lagi rakan sepasukannya yang harus diberikan tumpuan adalah Antonio Eric Fagundez (Uruguay), Mario Aparicio (Sepanyol), Ander Okamika (Sepanyol) dan melengkapkan senarai enam pelumba ialah Clement Alleno (Perancis) dan Georgios Bouglas (Greece).
Fagundez, Aparicio dan Okamika mempunyai keupayaan seimbang dan mampu menggalas cabaran sebagai pelumba GC buat Burgos BH. Kejayaan manis yang pernah dilakar Burgos BH dalam LTdL adalah kemenangan peringkat kelapan pada 2022 menerusi Alex Molenaar.
Sebanyak 22 pasukan termasuk tiga pasukan berstatus World Team –- EF Education Easypost dari Amerika Syarikat, Astana Qazaqstan Team ( Kazakhstan) dan DMS Firminich PostNL (Belanda) — bakal menghangatkan saingan perlumbaan LTdL 2024.
LTdL 2024, yang memasuki edisi ke-28 tahun ini, dijadual berlangsung dari 29 September hingga 6 Oktober depan membabitkan lapan peringkat merangkumi laluan sejauh 1,190 kilometer.
Pulau Langkawi kembali tersenarai dalam laluan edisi kali ini, yang turut menyaksikan dua peringkat perlumbaan julung-julung kalinya bakal berlangsung di dua bandar di Sarawak, iaitu Miri (peringkat ketujuh) dan Bintulu (peringkat kelapan).
– Stadium Astro