KUALA LUMPUR: Pakar pecut pasukan Astana Qazaqstan, Gleb Syritsa menjadi sandaran utama pasukan itu untuk memburu kemenangan berganda dalam saingan perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 yang akan berlangsung bermula 29 September hingga 6 Oktober ini.
Dengan pengalaman pernah beraksi di pentas LTdl sejak 2022, Syritsa dilihat banyak menguasai henjutan akhir ke garisan penamat di setiap peringkat selain dirinya pernah memenangi satu peringkat perlumbaan pada 2022 dan dua peringkat pada LTdL 2023.
Untuk misi yang lebih besar pada tahun ini, pelumba berusia 24 tahun itu akan dibantu oleh empat pelumba dari Kazakhstan, Vadim Pronsky, Igor Chzan, Yevgeny Gidich, Anton Kuzmin dan Rudiger Selig (Jerman) untuk pasukan Astana.
Oleh itu, buruan jersi oren sebagai pakar pecut LTdL pastinya menjadi idaman Syritsa selepas misi itu tidak kesampaian tahun lalu apabila dia dinafikan pelumba Tudor dari Belanda, Arvid de Kleijn yang mengunggulinya dengan 72 mata keseluruhan, diikuti Syritsa (58 mata) dan Sasha Weemaes (Human Powered Health) 55 mata.
Bahkan, gandingan Syritsa dengan Selig sebagai pengempur dalam mengatur strategi ke henjutan terakhir dilihat strategi ampuh buat pasukan Astana untuk perlumbaan sejauh 1,190 kilometer.
Untuk makluman, Selig adalah pelumba pecut berpengalaman dan antara pencapaian terbaiknya ialah menduduki tempat kedua peringkat di La Vuelta Espana 2016 dan Giro d’Italia 2017.
Sementara Anton Kuzmin pula dilihat mampu menghadirkan cabaran untuk menempatkan diri dalam kelompok pelumba terbaik keseluruhan (GC) dengan rekod menduduki tangga ketiga dan keempat di Tour of Iran dan Tour of Istambul tahun lalu.
– Harian Metro