KUALA LUMPUR: Pelumba muda Belanda Frank Van Den Broek bakal memperkuat pasukan berstatus World Team iaitu DSM Firmenich PostNL yang membuat penampilan sulung di perlumbaan berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 pada 29 Sept-6 Okt depan.
Menurut kenyataan Majlis Sukan Negara (MSN) selaku sekretariat LTDL, pelumba berusia 23 itu mencuri perhatian apabila menduduki tempat kedua di belakang rakan sepasukan Romain Bardet, pada peringkat pertama perlumbaan Tour de France, pada Julai.
“Pasukan DSM Firmenich PostNL diramal mampu menjadi pencabar utama kepada 22 pasukan yang bertanding pada LTdL 2024, dalam perebutan juara keseluruhan dan peringkat, sekali gus bakal menjanjikan persaingan sengit yang seimbang antara tiga pasukan World Team yang menyertai LTdL tahun ini.
“Selain Van Den Broek, pasukan DSM Firmenich PostNL bakal tampil dengan barisan pelumba hebat lain seperti Alex Edmondson (Australia), Niklas Markl (Jerman), Casper Van Uden (Belanda), Bjoern Koerdt (Great Britain) dan Johan Dorussen (Belanda),” menurut kenyataan MSN hari ini.
Dalam pada itu, MSN memaklumkan Edmondson atau lebih mesra dipanggil Edmo bakal menjadi tarikan LTdL 2024 kerana akan beraksi di daerah kelahirannya, Miri, Sarawak yang menjadi garis permulaan peringkat ke-7 LTdL tahun ini.
Pelumba berusia 30 tahun itu pernah beraksi bersama skuad berbasikal trek Australia di Sukan Olimpik London 2012 dan muncul juara acara pecut individu pada kejohanan dunia 2014, selain adalah pemenang pingat perak acara pecut berpasukan di Sukan Olimpik Rio 2016.
Beliau kemudian beralih ke perlumbaan lebuh raya bersama pasukan Orica GreenEdge daripada 2016 hingga 2022.
Perlumbaan LTdL 2024 sejauh 1,190 kilometer, menyaksikan Pulau Langkawi kembali tersenarai dalam laluan perlumbaan selain dua peringkat dilangsungkan di Sarawak iaitu Miri serta Bintulu.
Ia akan bermula di Langkawi untuk peringkat pertama, diikuti peringkat kedua dari Arau ke Butterworth, Taiping ke Cameron Highland (peringkat 3), Kuala Kubu Baru ke Bentong (peringkat 4), Kuala Lumpur ke Melaka (peringkat 5), Batu Pahat ke Kulai (peringkat 6), Miri ke Bintulu (peringkat 7) dan Bintulu (peringkat 8).
– Harian Metro