BUKIT JALIL – Pakar pecut pasukan Astana Qazaqstan, Gleb Syritsa menjadi sandaran utama pasukan itu untuk memburu kemenangan berganda dalam saingan Petronas Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 yang akan berlangsung daripada 29 September hingga 6 Oktober ini.
Ini penampilan hatrik buat Syritsa di LTdL sejak 2022 bersama Astana yang banyak menguasai henjutan akhir ke garisan penamat di setiap peringkat dengan Syritsa berjaya memenangi satu peringkat perlumbaan pada 2022 dan dua peringkat pada LTdL 2023.
Pelumba berusia 24 tahun dari Rusia itu akan dibantu empat pelumba dari Kazakhstan – Vadim Pronsky, Igor Chzan, Yevgeny Gidich, Anton Kuzmin dan Rudiger Selig (Jerman), dalam senarai rasmi pelumba LTdL 2024 yang dikeluarkan pasukan Astana.
Buruan jersi oren sebagai pakar pecut LTdL pastinya menjadi idaman Syritsa selepas misi itu tidak kesampaian tahun lalu apabila dia dinafikan pelumba Tudor dari Belanda, Arvid de Kleijn, yang mengunggulinya dengan 72 mata keseluruhan, diikuti Syritsa (58 mata) dan Sasha Weemaes (Human Powered Health) 55 mata.
Untuk memperkuatkan strategi berpasukan Astana tahun ini, Syritsa dijangka bergandingan dengan Selig sebagai ‘lead out’ utamanya dalam mengatur strategi ke henjutan terakhir di setiap peringkat perlumbaan sejauh 1,190 kilometer keseluruhan.
Selig, 35 tahun, diakui sebagai pelumba pecut berpengalaman dan antara pencapaian terbaiknya ialah menduduki tempat kedua peringkat di La Vuelta Espana 2016 dan Giro d’Italia 2017.
Keupayaan Anton Kuzmin (27 tahun) pula dilihat mampu menghadirkan cabaran untuk menempatkan diri dalam kelompok pelumba terbaik keseluruhan (GC) dengan rekod menduduki tangga ketiga dan keempat di Tour of Iran dan Tour of Istambul tahun lepas
Begitupun, Syritsa dan Selig pastinya berdepan tugas sukar tahun ini kerana dengan laluan yang lebih landai, persaingan 22 pasukan pastinya ditentukan sehingga ke garisan penamat dan lebih terbuka di kalangan pelumba pecut lebih-lebih lagi dengan kehadiran dua lagi pasukan berstatus world team – DSM Firmenich PostNL dan EF Education Easypost yang turut tampilkan barisan terkuat masing-masing.
Petronas LTdL 2024 merangkumi perlumbaan lapan peringkat dengan edisi ke-28 ini akan kembali ke Langkawi sebagai peringkat pertama saingan dan turut menjelajah dua lokasi di Sarawak iaitu di Miri dan Bintulu.