BUKIT JALIL – Bahang perlumbaan Petronas Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 kian memuncak dengan pengesahan tiga pasukan daripada kategori ‘World Team’ bakal memperagakan aksi kayuhan hebat buat peminat-peminat sukan berbasikal tempatan.

Pengesahan tiga pasukan itu – EF Education Easypost dari Amerika Syarikat, Astana Qazaqstan dari Kazakhstan dan DSM Firmenich PostNL dari Belanda – melengkapkan senarai 22 pasukan bakal bertanding pada edisi ke-28 perlumbaan berbasikal utama negara.

Kejayaan memikat tiga pasukan yang sedang menempa kejayaan pada perlumbaan Tour de France (TDF) tahun ini adalah pencapaian membanggakan buat penganjur, Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berbanding penyertaan hanya dua pasukan World Team pada LTdL tahun sebelumnya.

Pelumba DSM Firmenich PostNL, Romain Bardet dan Frank van den Broek, memenangi dua tempat teratas pada peringkat pertama Tour de France tahun ini. Pelumba EF Education Easypost, Richard Carapaz pula berjaya menguasai jersi kuning pendahulu keseluruhan selepas peringkat ketiga, memenangi Peringkat ke 17 dan merangkul kategori Raja Bukit Tour de France manakala pelumba berpengalaman Astana Qazaqstan, Mark Cavendish muncul pemenang perlumbaan peringkat kelima.

Tujuh pasukan daripada kategori ‘Pro Team’ dalam senarai Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) juga sudah disahkan, sekaligus membolehkan LTdL 2024 memenuhi syarat penganjuran perlumbaan berstatus Pro Series di luar Eropah.

Lima daripada pasukan Pro Team itu – Polti Kometa (Sepanyol), Tudor Pro Cycling (Switzerland), VF Group-Bardiani CSF- Faizane (Itali), Equipo Kern Pharma (Sepanyol) dan Euskaltel-Euskadi (Sepanyol) – kini berstatus ‘Grand Tour Pro Team’ dan dijemput bertanding dalam beberapa perlumbaan utama dunia seperti Giro de Italia dan Vuelta Espana 2024.

Tiga pasukan Malaysia juga akan bertanding pada LTdL 2024 iaitu Pasukan Kebangsaan Malaysia, Terengganu Cycling Team (TSG) dan Malaysia Pro Cycling (MPC) dengan keseluruhan 12 pelumba negara beroleh peluang bersaing kayuhan dengan pelumba-pelumba handalan dunia.

SENARAI PASUKAN – PETRONAS LE TOUR DE LANGKAWI 2024

BIL. PASUKAN NEGARA KATEGORI
1 ASTANA QAZAQSTAN KAZAKHSTAN UCI WORLD TEAM
2 EF EDUCATION-EASYPOST AMERIKA SYARIKAT UCI WORLD TEAM
3 TEAM DSM FIRMENICH POSTNL BELANDA UCI WORLD TEAM
4 VF GROUP-BARDIANI CSF-FAIZANE ITALI UCI PROTEAM
5 BURGOS BH SEPANYOL UCI PROTEAM
6 EQUIPO KERN PHARMA SEPANYOL UCI PROTEAM
7 CORRATEC VINI FANTINI ITALI UCI PROTEAM
8 TEAM POLTI KOMETA ITALI UCI PROTEAM
9 TUDOR PRO CYCLING TEAM SWITZERLAND UCI PROTEAM
10 EUSKALTEL-EUSKADI SEPANYOL UCI PROTEAM
11 TERENGGANU CYCLING TEAM MALAYSIA UCI CONTINENTAL TEAM
12 MALAYSIA PRO CYCLING MALAYSIA UCI CONTINENTAL TEAM
13 HENGXIANG CYCLING TEAM CHINA UCI CONTINENTAL TEAM
14 NUSANTARA PRO CYCLING TEAM INDONESIA UCI CONTINENTAL TEAM
15 JCL TEAM UKYO JEPUN UCI CONTINENTAL TEAM
16 ARA SKIP CAPITAL AUSTRALIA UCI CONTINENTAL TEAM
17 HKSI PRO CYCLING TEAM HONG KONG UCI CONTINENTAL TEAM
18 AISAN RACING TEAM JEPUN UCI CONTINENTAL TEAM
19 LI NING STAR CYCLING TEAM CHINA UCI CONTINENTAL TEAM
20 MALAYSIA MALAYSIA KEBANGSAAN
21 THAILAND THAILAND KEBANGSAAN
22 FILIPINA FILIPINA KEBANGSAAN

LALUAN PERLUMBAAN – PETRONAS LE TOUR DE LANGKAWI 2024

Kategori
UCI Proseries Men Elite
Tarikh
29 September – 6 Oktober 2024
Peringkat
Lapan (8) Peringkat Perlumbaan
Pre-Acara 27 September (Jumaat):
Majlis Pengenalan Pasukan, Dataran Lang
Pre-Acara 28 September (Sabtu):
Domestique by Le Tour de Langkawi (96.5 km)
Peringkat 1 29 September (Ahad):
Langkawi Round Island (96.5 km)
Peringkat 2 30 September (Isnin):
Arau ke Butterworth (154.5 km)
Peringkat 3 1 Oktober (Selasa):
Taiping ke Cameron Highland (170.3 km)
Peringkat 4 2 Oktober (Rabu):
Kuala Kubu Bharu ke Bentong (131.2 km)
Peringkat 5 3 Oktober (Khamis):
Kuala Lumpur ke Melaka (167.3 km)
Peringkat 6 4 Oktober (Jumaat):
Batu Pahat ke Kulai (123.4 km)
Peringkat 7 5 Oktober (Sabtu):
Miri ke Bintulu (199.3 km)
Peringkat 8 6 Oktober (Ahad):
Bintulu Loop (147.5 km)
Jumlah 1,190 km