PELUMBA muda pasukan kebangsaan Malaysia, Muhammad Nur Aiman Rosli masih ada sebab pulang ceria sebaik menamatkan Peringkat 6 Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 dari Karak ke Melaka sebentar tadi.
Pada perlumbaan sejauh 174.5 kilometer (km) itu, Nur Aiman yang tampil kali pertama di pentas LTdL, menduduki tempat ke-16, sekali gus dinobatkan sebagai pelumba terbaik Malaysia.
Dalam laluan Peringkat 6 itu, Nur Aiman berjaya berada dalam kelompok tiga terbaik dalam perebutan mata di zon pecutan – Pelangai, Batu Kikir dan Kuala Pilah.
Di Pelangai, Nur Aiman berada di tempat ketiga; Batu Kikir (kedua) dan Kuala Pilah (pertama), sekali gus mengumpul keseluruhan enam mata.
Malah, Nur Aiman turut boleh berbangga apabila meraih mata di zon pendakian apabila berada di tempat kedua di Gapoi dan Luak Inas bagi membolehkannya mengumpul tiga mata.
“Perancangan saya memang nak melarikan diri daripada peloton dan cuba kutip (mata) apa yang boleh memandangkan harapan untuk mengejar jersi sudah jauh.
– Sinar Harian