PELUMBA Tudor Pro Cycling Team, Arvid De Kleijn kembali mempamerkan belang sebenarnya apabila mengungguli Peringkat 6 Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 dari Karak, Pahang ke Melaka sebentar tadi.
Digelar ‘Litttle Gorilla’, De Kleijn yang menjuarai Peringkat 1 dari Kerteh ke Kuala Terengganu pada Sabtu lalu, melintasi garisan penamat di Dataran Pahlawan dengan catatan empat jam 08 minit dan 19 saat (s).
Pelumba Human Powered Health, Sasha Weemaes menamatkan perlumbaan sejauh 174.5 kilometer (km) itu di tempat kedua, manakala Gleb Syritsa daripada Astana Qazaqstan Team menduduki tempat ketiga.
“Ia adalah usaha berpasukan yang sangat baik. Kami agak bergelut untuk menembusi peloton hadapan tetapi kami berjaya melakukannya pada masa yang tepat.
“Ini satu penamat yang cukup sempurna. Sangat mengujakan apabila sekali lagi dapat memenangi peringkat perlumbaan di sini (LTdL 2023),” kata De Kleijn sejurus tamat perlumbaan.
Dalam pada itu, pelumba EF Education-EasyPost, Simon Carr yang memenangi Peringkat Lima dari Slim River ke Genting Highlands pada Rabu, kekal menyarung Jesi Hijau selaku pendahulu keseluruhan dengan catatan 23:33:29s.
Berbaki dua peringkat, Carr tampak hampir dimahkotakan selaku juara baharu LTdL apabila meninggalkan pencabar terdekatnya yang juga rakan sepasukannya, Alexander Jefferson Cepeda Ortiz dengan kelebihan 49s.
De Kleijn pula mengekalkan Jersi Jingga (Raja Pecut) apabila mengumpul keseluruhan 45 mata, diikuti pelumba Green Project Bardiani CSF-Faizane, Enrico Zanoncello (36 mata) dan Syritsa (34 mata).
Rakan sepasukan De Kleijn, Simon Pellaud kekal menyarung Jersi Polka Dot (Raja Bukit) dengan kutipan 32 mata, diikuti Carr (20 mata) dan pelumba Equipo Kern Pharma, Pablo Castrillo Zapater (13 mata).
Jersi Putih (Terbaik Asia) milik pelumba Astana, Vadim Pronskiy yang merekodkan masa keseluruhan 23:34:44s, diekori pelumba Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Jambaljamts Sainbayar (23:36:51s).
– Sinar Harian