BALING: Impian pelumba Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Nur Aiman Zariff untuk mempertahankan gelaran Raja Bukit pada Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 boleh dikatakan sudah berakhir selepas berakhirnya perlumbaan Peringkat 3 dari Jeli ke Baling, hari ini.
Aiman yang menyarung Jersi Polka Dot pada saingan hari pertama Sabtu lalu berkata, kedudukan mata dengan pendahulu ketika ini dari pasukan Tudor Pro Cycling Team, Simon Pellaud yang menawan tiga zon pendakian di Jeli, Puncak Titiwangsa dan Sri Banding kini seakan sukar untuk digugat.
Pellaud mendahului carta dengan 20 mata manakala Luca Covili dari pasukan Green Project-Bardiani CSF-Faizane’ berada di kedudukan kedua dengan 12 mata.
Rakan sepasukan Covili, Matteo Scalco pula berada di kedudukan ketiga dengan 11 mata manakala Aiman masih kekal bersama tiga mata.
Berbaki lima peringkat lagi, usaha Aiman untuk mengejar kedudukan mata berkenaan tampak sukar dan bagi pelumba 25 tahun itu, fokusnya selepas ini adalah untuk cuba mendapatkan penamat peringkat yang lebih baik.
“Hari ini, semua pelumba cuba untuk mendapatkan mata. Bukan Aiman sahaja nak dapatkan (mata) dan semuanya mencuba. Aiman sudah melakukan yang terbaik tetapi semua pelumba dari Eropah memang dari awal bergerak secara agresif.
“Apapun, Aiman berpuas hati kerana dapat mengikut peloton besar dan syukur kerana dapat bertahan sehingga garisan penamat. Rasanya, Aiman tidak akan kejar lagi mata itu (Raja Bukit) dan hanya fokus kepada perlumbaan peringkat atau apa-apa sahaja.
“Kira boleh katakan ‘selamat tinggal’ (untuk merebut gelaran Raja Bukit),” kata Aiman yang bakal meneruskan perlumbaan Peringkat 4 dari Bukit Mertajam ke Meru Jaya sejauh 140.2 kilometer (km), esok.
Laluan esok bakal membabitkan tiga zon pecutan dari Bagan Serai, Talang dan Sungai Siput selain satu zon pendakian Cat3 di Kuala Kangsar.
“Esok (Peringkat 4), tidak banyak zon pendakian, hanya satu dan zon pendakian terbesar selepas ini di Genting Highlands (Peringkat 5) yang menawarkan 25 mata. Kita tengok selepas ini bagaimana,” katanya.
Untuk rekod, Aiman sebelum ini memegang gelaran Raja Bukit pada edisi 2020 dan 2022.
– Berita Harian