KOTA BHARU: Pelumba Astana Qazaqstan Team, Gleb Syritsa berjaya menebus kekecewaan semalam dengan menjuarai Peringkat 2 Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 dari Kuala Terengganu ke Kota Bharu, sebentar tadi.
Lebih manis, kejayaan di laluan sejauh 186.2 kilometer (km) itu turut mengulangi pencapaiannya pada edisi tahun lalu yang menyaksikan dia menawan Peringkat 1 dari Kuala Pilah ke Kuala Lumpur.
Pelumba Tudor Pro Cycling Team yang masih memegang Jersi Hijau selaku pendahulu keseluruhan, Arvid de Kleijn berada di tempat kedua manakala Enrico Zanoncello dari pasukan Green Project-Bardiani CSF-Faizane, melengkapkan pentas podium.
“Saya gembira kerana kembali berjaya meraih kemenangan pertama musim ini dan saya gembira kerana mampu kembali meletakkan nama saya sebagai pemenang.
“Perlumbaan yang sangat menarik hari ini kerana semalam saya membuat kesilapan apabila terlalu terbuka. Hari ini, saya berjaya memperbaiki kesilapan dan mampu melakukan pecutan seperti dimahukan,” kata Syritsa.Meskipun De Kleijn gagal meraih kemenangan kedua berturut-turut, dia masih boleh berbangga dengan Jersi Jingga selaku pendahulu Raja Pecut dengan mengumpul 27 mata, diikuti Syritsa (24) dan Zanoncello (15).
Jersi Polka Dot untuk pendahulu Raja Bukit turut bertukar tangan selepas disambar Nur Amirul Fakhruddin Mazuki dari Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) apabila membolot mata maksimum di zon pendakian di Setiu dan Pelong.
Amirul meraih jersi berkenaan dari rakan sepasukannya, Nur Aiman Zariff selepas mengumpul empat mata.
Dalam pada itu, Jersi Putih untuk pendahulu pelumba terbaik Asia masih disandang Tegshbayar Batsaikhan dari Roojai Insurance Online sebelum Peringkat 3 bermula dari Jeli ke Baling sejauh 183.1km, esok.
– Berita Harian