PELUMBA pasukan berstatus WorldTeam, Astana Qazaqstan Team, Harold Martin Lopez menyasarkan untuk memperbaiki pencapaian pada penampilan keduanya di pentas Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023, yang akan memulakan kayuhan esok.
Pelumba berusia 22 tahun itu mengakui, pencapaian pada edisi lepas tidak begitu memberangsangkan selepas sekadar menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-21 secara keseluruhan, pada perlumbaan lapan peringkat itu.
“Pada ketika ini kedua-dua pasukan ProTeam dan Continental membariskan pelumba yang hebat, jadi tentunya LTdL kami ini bukanlah suatu yang mudah, walaupun ini merupakan penampilan kedua saya di sini.
“Tahun lepas, keputusan saya tidak begitu bagus bersama Astana dan kali ini saya datang ke Malaysia dengan pesiapan yang lebih baik. Saya juga lebih yakin dengan pasukan saya,” katanya pada sidang media LTdL, di sini hari ini.
Pelumba kelahiran Ecuador itu dalam masa sama mahu membalas kepercayaan pasukan Astana, selepas mengikat kontrak dua tahun bersama pasukan WorldTeam itu.
Martin Lopez pernah memenangi dua peringkat perlumbaan di Vuelta a Guatemala dan menduduki tempat kedua keseluruhan Vuelta al Ecuador pada 2020.
Beliau juga memenangi ujian masa individu di Kejohanan Kebangsaan Ecuador Bawah 23 Tahun (B-23) dan turut menamatkan saingan tempat kedua perlumbaan jalan raya di Pan American B-23 Sukan Remaja pada 2021.
Pada tahun ini, beliau turut cemerlang selepas dinobatkan sebagai naib juara kategori klasifikasi remaja di Vuelta a Burgos bulan lepas.
Selain Martin Lopez, Astana dibarisi pelumba terbaik mereka iaitu Vadim Pronskiy, Yurif Natarov, Gleb Syritsa, Martin Laas dan Michele Gazzoli.
– Sinar Harian