KUALA TERENGGANU: Pelumba Astana Qazaqstan, Harold Lopez mengharapkan penampilan kali kedua di Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 yang bermula esok dapat memperbaiki pencapaiannya pada musim lalu.
Lopez yang menamatkan perlumbaan LTdL musim lalu di kedudukan ke-21 keseluruhan berkata, dia tiba di Malaysia kali ini dengan lebih bermotivasi selepas menamatkan saingan Vuelta a Burgos di tempat kedua dalam klasifikasi remaja, Ogos lalu.
Prestasi pelumba berusia 22 tahun itu di tiga perlumbaan sebelum ke LTdL 2023 – Memorial Marco Pantani, Grand Premio Citta di Peccioli – Coppa Sabatini dan Giro della Toscana-Memorial Alfredo Martini – begitupun berakhir tanpa keputusan positif.
Namun, Lopez mempunyai hasrat untuk kembali bangkit di LTdL 2023 selepas menandatangani kontrak baharu bersama pasukan senior Astana Qazaqstan sehingga 2025, baru-baru ini.
“Ini kali kedua saya. Tahun lalu tidak begitu bagus kerana ia tahun pertama saya di Astana (Astana Qazaqstan Development Team). Saya tidak berada dalam keadaan dan prestasi yang baik.
“Namun kali ini berbeza kerana saya berada dalam keadaan baik selain lebih berkeyakinan. Saya harap dapat menunjukkan prestasi yang sangat bagus dalam perlumbaan ini nanti,” kata Lopez dalam sidang media LTdL 2023 di sini, hari ini.
Pelumba dari Ecuador yang bertindak sebagai pakar pendakian itu begitupun menjangkakan saingan tidak mudah meskipun pasukannya berstatus WorldTeam.
“Saya tidak fikir mudah kerana pasukan ProTeam juga berada di tahap prestasi yang bagus. Mereka berada dalam keadaan dan prestasi yang baik. Semua kuat, ProTeam, benua dan kebangsaan. Jadi saya akan mengambil pendekatan dari hari ke hari,” katanya.
– Berita Harian