KUALA TERENGGANU: Pelumba Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Mohd Harrif Salleh mencipta sejarah tersendiri dalam Le Tour de Langkawi (LTdL) apabila memegang status sebagai pelumba paling banyak penampilan.
Harrif bakal membuat penampilan ke-14 bagi edisi kali ini yang bakal membuka tirai saingan dari Kerteh ke Kuala Terengganu esok sekali gus mengatasi rekod 13 penampilan dipegang pelumba Iran, Ghader Mizbani sebelum ini.
Turut berada dalam senarai sejarah penampilan adalah Annuar Manan dan Loh Sea Keong dengan 12 penampilan.
“Saya rasa bertuah kerana masih dipilih dalam TSG. Saya mempunyai pengalaman yang banyak dalam LTdL ini. Saya baru tahu tentang rekod berkenaan hari ini, saya mula beraksi di LTdL sejak berusia 20 tahun.
“Saya juga berasa bangga kerana tidak pernah lagi ketinggalan beraksi di perlumbaan ini. Di sinilah saya mula mengenal pelbagai jenis jersi. Bagi saya, inilah medan buat pelumba Malaysia.
“Ketika kecil dulu, saya hanya melihat perlumbaan di tepi jalan sahaja. Pernah juga terdetik keseronokan jika dapat menyertai perlumbaan. Alhamdulillah impian itu tercapai, bukan sahaja masuk tetapi pernah menang perlumbaan.
“Apapun, perjuangan saya belum terhenti di sini. Kalau boleh saya mahu hadiahkan lebih banyak kejayaan untuk rakyat Malaysia,” kata Harrif atau dikenali sebagai Mamat dalam sidang media LTdL 2023, hari ini.
Untuk rekod, Harrif pernah meraih tiga kemenangan peringkat perlumbaan LTdL iaitu di Peringat 2 2019 dan dua kemenangan lagi masing-masing pada Peringkat 2 dan 5 pada 2020.
– Berita Harian