KUALA TERENGGANU: Pasukan bertaraf benua, Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) mempunyai misi untuk menamatkan kemarau podium di laman sendiri pada perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023.
Esok bakal menyaksikan 22 pasukan membuka tirai saingan dari Kerteh ke Kuala Terengganu dengan TSG bakal memperoleh peluang mengakhiri kemarau berkenaan di hadapan penyokong sendiri.
“Sejak penubuhan TSG pada 2011, TSG tak pernah menang mana-mana peringkat di negeri Terengganu. Tak pernah menang walaupun nombor tiga tetapi kita akan cuba pecahkan ia tahun ini,” kata Ketua Pegawai Operasi TSG, Nasiruddin Wan Idrus.
LTDL 2023 bakal membuka saingan dari Kerteh ke Kuala Terengganu sejauh 187.4 kilometer (km) sebelum Peringkat 2 bermula dari Kuala Terengganu ke Kota Bharu (186.2 km).
Pasukan kali ini dibarisi tiga pelumba tempatan iaitu Nur Amirull Fakhruddin, Harrif Saleh, Nur Aiman Zariff dan tiga pelumba antarabangsa, Jeroen Meijers, Jambaljamts Sainbayar dan Yousef Reguigui.
Mengulas lanjut, Nasiruddin berkata, pasukan tidak meletakkan fokus kepada mana-mana pelumba untuk menamatkan kemarau berkenaan memandangkan kesemuanya mempunyai kelebihan masing-masing.
“Kita ada pelumba ‘all rounder’ yang mampu membuat pecahan dan ‘all rounder’ kita juga boleh pecut. Meijers juga boleh membuat pecahan dan pecutan, begitu juga Sainbayar, dia boleh dalam mendaki, pecahan dan pecutan.
“Jadi tak kisah sesiapapun, janji dari pasukan ini. Kita sebuah pasukan profesional tetapi kalau anak tempatan, rakyat Malaysia yang meraihnya, itu lebih baik dan memberi impak lain. Jadi kita akan cuba,” kata Nasiruddin.
Dalam pada itu, Aiman yang pernah meraih gelaran Raja Bukit pada 2020 dan 2022 berkata, dia mempunyai hasrat untuk membantu pasukan memperoleh penamat di podium di Terengganu.
“Keinginan itu memang ada untuk mendapatkan Jersi Kuning (keseluruhan) untuk peringkat pertama ini, lagi-lagi di Terengganu. Aiman memang ada perasaan itu, ada sasaran tetapi itu semua bergantung kepada rezeki.
“Aiman akan cuba pada hari pertama nanti untuk memberikan yang terbaik bagi mendapatkan podium,” kata Aiman.
– Berita Harian