KUALA LUMPUR: Perasaan bercampur baur menyelubungi pelumba pasukan kebangsaan Malaysia, Muhsin Al Redha Misbah apabila bakal membuat penampilan sulung di Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 yang bermula Sabtu ini.
Bagi pelumba yang mempunyai kepakaran dalam pendakian itu, perlumbaan ini sememangnya bermakna namun tanggungjawab diberikan pasukan harus digalas dengan sebaiknya.
“Ini kali pertama. Seronok dan ada tanggungjawab besar. Bagi saya, perasaan itu bercampur baur,” kata bekas pelumba pasukan Sapura Cycling (TSC) itu.
Skuad kebangsaan Malaysia dianggotai empat bekas pelumba TSC yang merangkumi Muhsin, pasukan turut disertai Mohammad Izzat Helmi, Nur Aiman Rosli dan Muhammad Zawawi Azman.
Turut memperkuatkan pasukan adalah pelumba serba boleh, Muhammad Shaiful Adlan dan pelumba termuda kali ini, Zulhelmi Zainal yang berusia 23 tahun.
Pasukan yang di bawah kendalian ketua jurulatih Mohd Yusuf Abdul Nasir itu mempunyai misi untuk mencabar Jersi Putih selaku pelumba terbaik Asia dan bagi Mushin, tugas itu agak berat namun mereka akan cuba sedaya upaya untuk merealisasikannya.
“Bagi saya berat tetapi kami akan cuba usaha sebaik mungkin untuk mencapai apa yang jurulatih sasarkan. Semua pelumba dalam pasukan tengah berada di tahap prestasi terbaik buat masa ini.
“Untuk Jersi Putih itu, bagi saya masih terbuka dan penentuannya adalah di peringkat di Genting nanti kerana pendakian ke Genting yang panjang dan ia boleh menjadi jurang masa yang besar. Jadi peluang itu ada di situ,” kata Muhsin.
Peringkat 1 perlumbaan bakal berlangsung dari Kerteh ke Kuala Terengganu esok sebelum jelajah menyusuri laluan sejauh 186.2 kilometer (km) dari Kuala Terengganu ke Kota Bharu keesokan harinya.
Laluan seterusnya adalah dari Jeli ke Baling yang sejauh 183.1km manakala Peringkat 4 pula dari Bukit Mertajam ke Meru Jaya (140.2km). Peringkat 5 bakal berlangsung dari Slim River ke Genting Highlands sejauh 126.4km sebelum peringkat seterusnya membabitkan jarak perlumbaan 174.5km dari Karak ke Melaka.
Peringkat 7 membabitkan laluan dari Muar ke Seremban 2 sejauh 123.8km sebelum kemuncak saingan bermula dari Setia Alam ke Kuala Lumpur.
– Berita Harian