LANGKAWI – Sehari sebelum Petronas Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 membuka tiranya secara rasmi, pihak penganjur telah mengadakan Program Rakan Bumi: Lestari Alam LTdL 2024.

Program penanaman pokok seperti cengal, meranti dan keruing yang disertai seramai 80 orang sukarelawan itu diadakan di Compartment 13, Hutan Simpan Gunung Raya, Langkawi pada Sabtu.

Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan dan Kos Sara Hidup, Belia dan Sukan negeri Kedah, Yang Berhormat Radhi Mat Din dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gurun, Yang Berhormat Baddrol Bakhtiar antara jemputan khas yang menghadiri program tersebut.

Turut hadir adalah Rajihan Rahim, Penolong Pengarah, Seksyen Silvikultur dan Perlindungan Hutan, Jabatan Perhutanan Negeri Kedah; En Mohammad Suhaimi Md Saad, Timbalan Pengarah (Belia) Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kedah dan Puan Salwa Senawi, Penolong Pengarah Rakan Muda, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kedah.

Program Rakan Bumi: Lestari Alam LTdL 2024 merupakan antara salah satu acara yang dianjurkan sempena perlumbaan LTdL 2024 yang bermula dari 29 September hingga 6 Oktober ini.

Bagi edisi kali ini, Langkawi diberi penghormatan menjadi lokasi sulung LTdL 2024 apabila berlangsungnya Peringkat 1 melibatkan laluan sejauh 96.5 kilometer (km) mengelilingi pulau legenda itu.