KUALA LUMPUR: Tiga pasukan “World Team” bakal mewarnai perlumbaan jelajah berbasikal Le Tour de Langkawi 2024 dari 29 September hingga 6 Oktober depan.
Tiga pasukan itu adalah EF Education Easypost dari Amerika Syarikat, Astana Qazaqstan dari Kazakhstan dan DSM Firmenich PostNL dari Belanda.
Kejayaan memikat tiga pasukan yang sedang beraksi pada perlumbaan Tour de France tahun ini adalah pencapaian membanggakan buat penganjur, Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berbanding hanya dua penyertaan pasukan World Team, tahun sebelumnya.
Dalam pada itu, tujuh pasukan “Pro Team” dalam senarai Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) juga bakal menghangatkan lagi perlumbaan jelajah berbasikal paling berprestij di benua Asia ini.
Tujuh pasukan terbabit adalah VF Group-Bardiani CSF-Faizane dari Itali, Burgos BH (Sepanyol), Equipo Kern Pharma (Sepanyol), Corratec Vini Fantini (Itali), Team Polti Kometa (Itali), Tudor Pro Cycling Team (Switzerland) dan Euskaltel-Euskadi (Sepanyol).
Selain 9 pasukan “Continental Team” yang terdiri daripada Terengganu Cycling Team dan Malaysia Pro Cycling Team, perlumbaan kali ini turut disertai tiga pasukan kebangsaan iaitu Malaysia, Thailand dan Filipina.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan pasukan yang mengambil bahagian pada edisi ke-28 kali ini adalah sebanyak 22 pasukan.
Bagaimanapun senarai nama pelumba hanya akan diumumkan, selewat-lewatnya awal September nanti.
LTdL 2024 menawarkan lapan peringkat perlumbaan dengan jarak keseluruhan 1,190 kilometer (km).
– Buletin TV3